Diterbitkan pada 25 Disember 2022, 09:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di Stor Teater, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan program Baca Puisi Bulanan: PEMUISI anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama DBP. Program Puisi Bulanan 12.0 yang merupakan siri terakhir untuk tahun 2022 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Turut memeriahkan program ini ialah Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (Pengerusi PEMUISI), Datin Azizah dan Profesor Madya Norhayati Abdul Rahman (Timbalan Pengerusi PEMUISI), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob (Naib Canselor Universiti Malaya ke-8), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron dan Dr. Ibrahim Ghafar.

Tema “Gerbang Gemilang, Malaysia Terbilang” dilihat bersesuaian untuk melangkah ke tahun baharu 2023 dengan azam dan aspirasi yang lebih positif dan progresif. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim berkata,

Puisi bulanan ini merupakan program penutup untuk tahun 2022. PEMUISI membuka ruang dengan mengundang tokoh yang bukan dalam kalangan sasterawan kerana melalui pelibatan pemuisi yang di luar kotak sastera akan mengembangkan lagi khalayak melalui puisi pada peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Tambah beliau lagi,

Begitu juga dengan pelibatan dalam kalangan khalayak muda. Kita dapat lihat golongan ini sentiasa hadir untuk memberikan sokongan setiap kali program seperti ini diadakan.

Antara sekolah yang hadir memberikan sokongan pada program puisi ini ialah Wesley Methodist International School, Sekolah Seni Johor dan Sekolah Seni Cyberjaya. Sokongan ini membuktikan bahawa puisi sebenarnya sudah mula diminati dalam kalangan pelajar sejak program puisi bulanan ini dianjurkan. Selain itu, DBP sebagai sebuah badan yang berfungsi untuk mengembangkan minat sastera dalam kalangan masyarakat dilihat berjaya membuktikan peranannya melalui penganjuran program seperti ini.

Antara pemuisi muda yang terlibat dalam program Puisi Bulanan Baca Puisi: PEMUISI di DBP ialah gandingan adik-beradik, iaitu Muzafar dan Mawardah dengan puisi berjudul “Titis-titis Hujan Malam”. Adik Nur Humaira Maisarah pula bergandingan dengan bondanya, Bunga Merah mendeklamasikan puisi berjudul “Dia” dan Yan Hamzah mendeklamasikan puisi berjudul “Itu yang Sebenarnya”.

Program Baca Puisi: PEMUISI di DBP mendapat galakkan dan reaksi yang positif daripada khalayak, terutama dalam kalangan generasi muda. Siri puisi bulanan ini diharapkan akan diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai langkah menyemarakkan puisi pada setiap peringkat umur dan bidang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi