Diterbitkan pada 22 Disember 2022, 20:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada 22 Disember 2022, Bernama Radio menampilkan Syahidatul Munirah Badrul Munir, seorang penulis dan pengajar di Anjung Seni Nilakandi sebagai tetamu dalam program “Cakna Bahasa” untuk berkongsi perihal Seni Teater-Syair.

Seni Teater-Syair merupakan cubaan Syahidatul Munirah untuk mengangkat syair dalam kalangan masyarakat agar cengkaman emosi lebih terasa apabila menyampaikannya. Terdapat beberapa keresahan yang disuarakan dalam kalangan penyair tempatan, termasuklah Syahidatul Munirah sendiri berkenaan penyampaian emosi dalam syair. Keresahan ini secara tidak langsung memaksa beliau melakukan eksperimen melalui teater-syair. Kongsi beliau,

Pernah sekali, syair nukilan saya dalam bentuk teks tidak sampai kepada masyarakat yang mendengarnya. Hal ini disebabkan teks dan emosi yang saya zahirkan tidak selari dengan penyampaian. Maka itu, eksperimen saya menggabungkan teater dan syair sebagai cubaan untuk memberikan keselarasan emosi dan teks semasa penyampaian syair.

Tambahnya lagi,

Teater dan syair merupakan dua bidang yang berbeza. Teater merupakan satu bentuk seni persembahan yang menggunakan ruang fizikal dan lakonan. Sebaliknya syair pula, dari sudut sastera merupakan puisi tradisional. Teater-syair merupakan dua medium berbeza yang saya gabungkan di atas pentas. Jadi apabila bercakap dalam konteks teater-syair, syair itu turut berfungsi sebagai skrip, yang mana dalam syair ada penceritaan dan didendangkan kepada penonton.

Teater-syair yang diangkat oleh Syahidatul Munirah ini mengisahkan sejarah Pahang. Menurut Syahidatul Munirah, naskhah Setanggi Ratna Inderapura menceritakan Raja Ungu, seorang raja perempuan yang mentadbir Patani pada tahun 1624 hingga 1635. Pada zaman pemerintahan raja-raja perempuan Patani ini, Patani Darussalam merupakan kerajaan Melayu yang tidak pernah dijajah oleh kuasa imperialisme Eropah. Hal ini memperlihatkan betapa berkuasanya susuk seorang raja perempuan pada masa itu. Kisah ini tidak pernah diketengahkan dalam mana-mana pembelajaran sejarah.

Menariknya, syair-teater ini turut mengetengahkan irama syair yang jarang-jarang didendangkan dan didengari oleh masyarakat, antaranya irama batu belah, tok kenali, dodoi, Siti Zubaidah Pekan Baru, Pekan Rawi, bergondak, melalak dan narasi. Pendedahan irama baharu ini secara tidak langsung, memberitahu masyarakat bahawa syair merupakan seni yang luas iramanya dan tidak hanya tertumpu pada irama yang popular didendangkan.

Pementasan Teater-syair Setanggi Ratna Inderapura pernah dipentaskan pada 17 September 2022 di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka. Akhir sekali, Syahidatul Munirah turut menyatakan harapan beliau terhadap syair agar seni ini akan terus dikenali dan mendapat tempat, terutama dalam kalangan generasi muda.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi