Diterbitkan pada 10 Disember 2022, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Reruai Rabak-Lit menjadi tumpuan penulis muda sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022.

Shah Alam – Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 (PBAS) anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mendapat perhatian yang luas daripada pengunjung seperti tahun yang lalu. Pesta buku yang berlangsung selama 11 hari ini, dibuka seawal pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam, bertempat di MBSA Convention Centre, Shah Alam.

PBAS kali ini menjadi tumpuan banyak rumah penerbit  yang melahirkan penulis muda dan pemula dalam industri penulisan kreatif. Antara rumah penerbitan tersebut ialah Rabak-Lit. Penerbitan Rabak-lit dikenali sebagai rumah penerbitan yang sering melakukan eksperimen terhadap buku terbitan mereka.

Antara buku daripada penulis muda yang mendapat perhatian di Rabak-Lit untuk PBAS kali ini ialah buku Hidup Bukan Sekadar Bernafas (Malis) dan Kumpulan Puisi Kelab Rancu Puisi yang mengumpulkan 12 penulis muda dan pemula, antaranya seperti Malis Nordin, Maliqi Musa, Ali Adenan, Saufi Tahir, Jack Malik, ‘Abidin Bidin, Syahirah Wasabi, Hilan Bakri, Petak Daud, Aliff Awan, Cahaya Jais dan Puteri Nur.

Hidup Bukan Sekadar Bernafas dan Kumpulan Puisi Kelab Rancu Puisi antara karya yang dihasilkan oleh penulis muda.

Penulis buku Hidup Bukan Sekadar Bernafas, iaitu Malis yang mempunyai jumlah pengikut yang banyak di laman sosial telah berjaya menarik perhatian pembaca untuk memiliki bukunya.

Ketua Penerbitan Rabak-Lit, Izzat Amir berkongsi apabila ditanya tentang, adakah pengikut di laman media sosial memainkan peranan buat penulis pemula agar karya mereka dikenali dan mendapat perhatian?

Jawabnya,

Secara jujur, jika saya memakai topi kapitalis, pengikut sangat penting dan memainkan peranan dalam penjualan. Namun saya berpendapat, kualiti karya itu lebih penting jika hendak dibandingkan dengan bilangan pengikut yang banyak.

Tambahnya lagi,

Dalam buku Kelab Rancu Puisi, kami juga turut mengetengahkan penulis pemula tanpa pengikut yang mempunyai jumlah bilangan yang banyak seperti Maliqi Musa, A’bidin Bidin dan Hilan Bakri. Jika saya mahu katakan pengikut itu penting, saya lebih berpegang pada kualiti karya. Sebagai contoh, Maliqi Musa. Ini merupakan kali pertama karya beliau diterbitkan. Namun disebabkan kualiti karyanya yang sangat menyerlah, maka bakatnya sebagai seorang penulis walaupun tanpa pengikut yang banyak tidak dapat saya nafikan.

Penerbitan Rabak-Lit tidak hanya berfokus kepada penulis muda sahaja. Karya terbitan Rabak-Lit mencakupi genre yang luas untuk semua peringkat usia. Rabak-Lit turut menerbitkan karya daripada penulis yang berusia seawal 20-an hingga 65 tahun.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi