Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTangkak – Sebanyak lima buah sekolah di daerah Tangkak, termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Bekoh, SK Sengkang, SK Bukit Banjar, SK Paya Mas dan SK Serom 4 terlibat dalam pembukaan Terminal Baca yang sebelumnya dikenali sebagai Stesen Buku.
Inisiatif ini merupakan usaha Persatuan Komuniti Buku dan Pengkarya Tangkak, Johor (KBKJ) dengan kerjasama dan sokongan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak (PPDT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, serta Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Tangkak.
Perasmian Terminal Baca telah disempurnakan oleh mantan Ketua Pustakawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, YBrs. Puan Hajah Alimah Salam di SK Bekoh, 23 Jun lalu.
Terminal Baca yang ditempatkan di ruang yang bersesuaian di kawasan SK Bekoh di sini merupakan sebuah pondok yang dilengkapi dengan rak buku, koleksi buku, satu set komputer serta meja dan kerusi untuk dimanfaatkan oleh pelajar dan orang ramai.
Yang menariknya, nama penulis tempatan turut diabadikan di setiap Terminal Baca. Di SK Bekoh, Terminal Baca tersebut dikenali sebagai Terminal Baca Noor Izam Samin, bersempena dengan nama penulis tempatan berkenaan.
Dalam ucapan perasmian, Hajah Alimah berkata bahawa beliau mengetahui tentang inisiatif Terminal Baca apabila menerima undangan untuk merasmikan kemudahan tersebut di SK Bekoh.
Menurut beliau, beliau semakin teruja apabila dimaklumkan bahawa Terminal Baca bukan sahaja diwujudkan di SK Bekoh, malah telah diperluas ke beberapa buah sekolah lain di daerah Tangkak.

Beliau menegaskan bahawa pendedahan kanak-kanak kepada buku fizikal perlu terus diperkasakan, meskipun generasi kini semakin terdedah kepada penggunaan gajet.
“Buku fizikal menawarkan bahan bacaan yang lebih terkawal dan bersesuaian, berbanding dengan pembacaan melalui telefon pintar yang mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai sumber tanpa kawalan,” tambah beliau.
Beliau turut berharap agar kemudahan Terminal Baca dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah dan pelajar, di samping memuji usaha penganjur mengabadikan nama penulis tempatan pada setiap Terminal Baca sebagai satu bentuk penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam bidang penulisan.
Sementara itu, Guru Besar SK Bekoh, YBrs. Puan Suhaila Abu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif tersebut.
“Pelancaran Terminal Baca bukan sahaja menyediakan ruang bacaan yang kondusif, malah menjadi simbol komitmen bersama untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu dan menjadikan membaca sebagai gaya hidup,” ujar beliau.
Guru Pusat Sumber SK Bekoh, YBrs. Puan Norfuziana Painah pula menyifatkan program ini sebagai usaha murni untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan murid dan masyarakat.
“Program ini juga selaras dengan matlamat Program NILAM yang bertujuan melahirkan generasi berilmu, berfikiran kritis, kreatif dan berdaya saing,” kata beliau lagi.
Tambahnya, kerjasama antara sekolah, komuniti buku, penulis tempatan dan agensi luar bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan antara sekolah dengan masyarakat, malah diharapkan dapat memupuk minat murid untuk membaca secara berterusan serta mengenali karya dan penulis tempatan dengan lebih dekat.
Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah wakil Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Puan Norzuzilawati Sulaiman; mantan Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Armin Azhari Saleh; Pengasas KBKJ, YBrs. Encik Mohd. Isnin Tawaf; Ketua Dua KBKJ, YBrs. Encik Salleh Dermawan, para penyumbang serta rakan-rakan penulis.