Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Persembahan deklamasi puisi oleh Nurhusnina Yusoff yang penuh penghayatan, bersemangat dan berkesan berjaya memikat hati barisan hakim, sekali gus melayakkannya membawa pulang gelaran juara dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Perlis.
Pertandingan yang menghimpunkan para pendeklamasi puisi dari seluruh negeri tersebut berlangsung di Auditorium Perpustakaan Awam Kangar, Perlis, 27 Jun lalu.
Para peserta mendeklamasikan puisi yang mengangkat tema kemerdekaan, perpaduan dan jati diri bangsa daripada buku Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Atma Berdaulat terbitan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).
Nurhusnina Yusoff dinobatkan sebagai juara menerusi persembahan deklamasi puisi yang bertajuk “Kedaulatan Bangsa”.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Mustaza Mustafa, manakala tempat ketiga menjadi milik Ainun Nasibah Johar.
Ketiga-tiga pemenang memperlihatkan mutu persembahan yang cemerlang dengan penyampaian yang mantap, serta penghayatan yang berjaya menyentuh emosi para penonton.

Sayembara ini menjadi wadah penting dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan, di samping memupuk minat masyarakat terhadap seni deklamasi puisi dan mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus melahirkan lebih banyak penggiat seni yang mampu menyampaikan mesej patriotik dan menyuburkan budaya sastera dalam kalangan masyarakat.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Encik Mohd Hadi Roslan, yang mewakili Pengarah DBP Wilayah Utara.