Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sintok – Program SULAM Driven Innovation 2026 (SUDI’26) berjaya melahirkan pelbagai inovasi berimpak yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

SUDI’26 dianjurkan bagi memberikan pengiktirafan terhadap pelaksanaan projek-projek Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dalam kalangan pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mendatangkan impak kepada komuniti.

Program ini melabuhkan tirai dengan penuh jayanya menerusi Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung di Dewan Tan Sri Othman, UUM, 24 Jun lalu.

Penolong Naib Canselor UUM College of Business (UUM COB), Profesor Dr. Selamah Maamor dalam ucapan perasmian penutup menegaskan bahawa SUDI’26 menjadi medium penting untuk membentuk generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, kepemimpinan dan keupayaan untuk menyumbang kepada penyelesaian pelbagai isu semasa melalui pendekatan yang inovatif.

Beliau turut menggalakkan mahasiswa agar sentiasa berfikiran kreatif dan berani meneroka idea baharu yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat serta negara.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Program SUDI’26, Profesor Dr. Norhafezah Yusof merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama untuk menjayakan program tersebut.

Menurut beliau, SUDI’26 bukan sahaja menjadi platform untuk mahasiswa mengasah kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah, malah memberikan peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan mempunyai nilai tambah untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” tambah beliau.

Majlis turut diserikan dengan sesi ulasan keseluruhan oleh ketua juri yang berkongsi penilaian terhadap projek-projek yang dipersembahkan sepanjang program berlangsung.

Beliau memuji komitmen dan kreativiti peserta dalam usaha menghasilkan penyelesaian yang praktikal serta berpotensi memberikan manfaat kepada komuniti.

SUDI’26 mempertandingkan dua kategori utama, iaitu kategori Sains dan Teknologi serta kategori Sains Sosial yang menghimpunkan pelbagai projek berteraskan aplikasi ilmu, inovasi dan penyelesaian isu komuniti.

Peserta daripada Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bagi kategori Sains dan Teknologi, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) muncul sebagai johan menerusi projek “QC Check Defect Detect” yang mengetengahkan pendekatan inovatif untuk meningkatkan kecekapan proses pemeriksaan kualiti. Tempat kedua dimenangi oleh Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) melalui projek “Safeguard”, manakala tempat ketiga diraih oleh SOC menerusi projek “Empowering Changlun Household Through Data-Driven Financial Resilience.

Bagi kategori Sains Sosial pula, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) berjaya merangkul tempat pertama menerusi projek “Pemerkasaan Komuniti Kampung Rawa – Cendawan Bongkah”. Projek tersebut menonjolkan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti melalui pendekatan yang mampan dan berdaya maju. Tempat kedua dimenangi oleh Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) menerusi projek “IMC Campaign for Liznim Kraf Enterprises”, manakala tempat ketiga menjadi milik Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) melalui projek “Lestari Niaga: Pemerkasaan Digital di Pasar Tani Kekal, Changlun”.

Pencapaian ini membuktikan keupayaan mahasiswa UUM dalam usaha menggabungkan pengetahuan akademik dengan keperluan sebenar masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi