Diterbitkan pada 29 Ogos 2021, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sastera dan budaya sering dikaitkan dengan gabungan antara negara Nusantara seperti Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand. Oleh itu, Titian Rumah Serumpun yang ditubuhkan untuk menyatukan penggiat sastera dan budaya dalam kalangan negara Nusantara telah mengadakan program “Santai Serumpun” yang akan menampilkan penggiat sastera dan budaya untuk berbicara secara santai menerusi siaran langsung Instagram Titian Rumah Serumpun.

“Santai Serumpun” yang menggabungkan empat buah negara.

Sebagai segmen pengenalan, “Santai Serumpun” telah menampilkan empat penggiat sastera dan budaya yang mewakili negara masing-masing, iaitu Azree Ariffin (Malaysia), Firdaus Ibrahim (Brunei), Devi Yenti (Indonesia) dan Shahril Samri (Singapura). Segmen yang diadakan secara santai tersebut diadakan buat pertama kalinya menerusi siaran langsung Instagram Titian Rumah Serumpun pada 28 Ogos 2021, pukul 9.00 malam yang turut mendapat sokongan daripada Siak Heritage.

Umum mengetahui bahawa Nusantara kaya dengan sastera dan budaya yang unik dan bahasa Melayu merupakan bahasa utama yang digunakan. Antara sastera yang sering mendapat perhatian ialah pantun. Oleh itu, pada segmen kali ini, para pembicara telah membincangkan keunikan pantun berdasarkan negara masing-masing dan penerimaan pantun dalam kalangan generasi muda.

Devi Yenti yang berkhidmat di Institusi Bahasa turut menyatakan bahawa pantun amat dekat dengan masyarakat di Riau kerana pantun sering digunakan secara formal mahupun sebaliknya. “Yang menariknya, pantun juga sering menjadi kandungan dalam pembikinan video dalam kalangan masyarakat,” tambah Devi yang juga aktif dalam pertandingan pantun di Riau.

Apabila berbicara berkaitan dengan penerimaan pantun dalam kalangan generasi muda, Shahril turut berkongsi pelibatan beliau dalam memperkenalkan budaya pantun dalam kalangan generasi muda di Singapura. Menurut beliau, pendekatan pantun yang beliau tampilkan lebih bersifat santai dan bersahaja yang telah memberikan peluang kepada generasi muda di Singapura untuk melibatkan diri dalam pantun. Selain itu, beliau turut mempunyai akaun media sosial Pantunisme yang membolehkan generasi muda menggilap bakat mereka dalam penciptaan pantun.

Azree turut mengatakan bahawa penyatuan antara negara Nusantara harus dipergiatkan, terutamanya melibatkan generasi muda. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa penciptaan sesebuah pantun  seharusnya dihasilkan berdasarkan peredaran masa ini. Beliau yang juga seorang penggiat sastera dan budaya turut giat menjalinkan hubungan kerjasama dengan negara Nusantara yang lain.

Segmen “Santai Serumpun” turut mengalu-alukan cadangan topik dalam kalangan penonton untuk diketengahkan dalam segmen berikutnya.

Lagu: Cinta Nusantara, Sheqal.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi