Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Izzati Ali & Safiyyah Shahri

Tangkak –  Program “Jom Padan” yang melibatkan lima orang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh daripada Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) dijadikan bahan bantu belajar untuk murid-murid disleksia menguasai kemahiran membaca.

Sebanyak lapan orang murid disleksia terlibat dalam program yang dijalankan di Kelas Pendidikan Khas SK Simpang 5 Pekan, Tangkak, 15 Mei lalu.

Wakil mahasiswa yang terlibat, Izzati Ali, berkata bahawa program ini memerlukan perancangan dan persiapan yang teliti, khususnya untuk merancang aktiviti-aktiviti yang interaktif bagi menarik minat golongan murid tersebut.

Program ini bermula dengan satu kajian rintis yang telah dijalankan pada 10 April lalu untuk membuat penilaian awal terhadap tahap penguasaan murid disleksia serta kesesuaian tentatif program yang dirancang.

Sesi kajian rintis yang dijalankan pada 10 April 2026.

Dalam program ini, murid-murid didedahkan dengan pengenalan huruf, sebutan asas, pembentukan suku kata dan teknik penyebutan suku kata asas melalui tayangan video.

Setelah menjalankan sesi pembelajaran interaktif, murid-murid diberikan masa untuk menjawab soalan dalam gamifikasi digital “Jom Padan” yang berunsurkan huruf dan suku kata sebagai penilaian kepada tahap penguasaan mereka.

Antara gamifikasi yang dijalankan termasuklah gamifikasi “Pusing Suku Kata” dan Teka Huruf”. Kedua-dua gamifikasi ini berjaya menarik minat murid-murid untuk terus terlibat sepanjang sesi pembelajaran dan meningkatkan proses pemahaman berkenaan huruf dan suku kata.

Suasana aktiviti pembelajaran yang menggunakan gamifikasi “Jom Padan”.

Guru kelas Pendidikan Khas, Encik Mohd Fadil Hanif berpendapat bahawa program ini sangat membantu para guru mendapatkan idea baharu dalam penyediaan bahan bantu belajar yang lebih sesuai dan kreatif. Tambahnya,

Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang program ini, aktiviti gamifikasi yang diperkenalkan ini sangat berkesan untuk memudahkan murid-murid memahami huruf dan suku kata melalui pendekatan yang lebih santai.

Kelima-lima mahasiswa yang terlibat merupakan pelajar Program Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa yang mengambil kursus BMCO 4105 Komunikasi Pengantaraan Komputer di bawah seliaan YBrs. Dr. Azean Idruwani Idrus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi