Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi melakar sejarah penting dalam penerbitan karya apabila memeterai Perjanjian Kerjasama (MoA) Penerbitan Buku Bergambar Kanak-kanak dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini, sekali gus memperkukuh lagi jaringan hubungan kerjasama antara kedua belah pihak.
Perjanjian bersejarah itu telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Kasim bin Haji Mansor, Naib Canselor UMS dengan disaksikan oleh YBrs. Encik Luqman Ridha Anwar, Pendaftar, UMS. Turut sama menyaksikan majlis tersebut ialah YBrs. Puan Jennitah Noordin Pengarah DBP Cawangan Sabah dan YBrs. Dr. Suwaibah Zakaria, Pengarah, Pusat Minda Lestari, UMS.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Puan Jennitah Noordin, DBP sentiasa memberikan perhatian dan menyokong usaha penerbitan buku dalam pelbagai bidang ilmu dan pelbagai peringkat yang ditulis dalam bahasa Melayu.
“Langkah ini bertepatan dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.”
Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa pelbagai usaha dilakukan oleh DBP Cawangan Sabah bagi memperhebat penerbitan buku kanak-kanak termasuklah bekerjasama dengan Pusat Minda Lestari, UMS.
“Alhamdulillah, kerjasama yang terjalin ini tampaknya membuahkan hasil dengan sebanyak 17 manuskrip telah diperoleh dan bakal diterbitkan pada tahun ini. Kerjasama ini merupakan pelengkap kepada kerjasama yang telah terjalin sejak tahun 2020.”
Manakala dalam ucapan penghargaan yang disampaikan oleh YBhg Prof. Datuk Dr. Kasim bin Haji Mansor, Naib Canselor, UMS, beliau menyatakan bahawa kerjasama strategik ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh usaha UMS untuk memartabatkan bahasa, sastera dan budaya, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Inisiatif penerbitan buku bergambar kanak-kanak ini bukan sahaja menyokong perkembangan literasi awal, malah menjadi medium yang efektif dalam membentuk imaginasi, kreativiti serta perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak.”
Menurut beliau, jalinan kerjasama antara UMS dan DBP akan memenuhi keperluan perkembangan holistik kanak-kanak, sejajar dengan aspirasi pendidikan negara.
“Gabungan kepakaran antara DBP dalam bidang penerbitan dan UMS dalam penyediaan perkhidmatan dan penyelidikan diyakini akan menghasilkan karya berkualiti tinggi yang bukan sahaja menarik, tetapi juga sarat dengan nilai murni dan elemen pendidikan.”
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli-ahli Lembaga Pengelola Pusat Minda Lestari, UMS, pegawai-pegawai kanan dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.