Diterbitkan pada 20 April 2026, 18:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Program Borak Buku edisi khas hasil kolaborasi Kultus Kata dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) telah berlangsung dengan jayanya di Pustaka Negeri Sarawak pada petang Sabtu lalu.

Kultus Kata yang lazimnya dianjurkan di Kuala Lumpur dengan mengangkat karya penulis tempatan, kali ini melebarkan sayap ke Kuching untuk meraikan perbincangan tentang kumpulan cerpen Ragam dalam Perut Cicak karya Joe Julaihi. Naskhah tersebut diterbitkan pada tahun 2025 oleh Biblio Press.

Moderator, Airul Affendi Ali dan Presiden PEKASA, Dayang Azizah Mohd Salleh menekankan kepentingan penganjuran program sastera secara berterusan tanpa bergantung kepada organisasi tertentu semata-mata. Menurut mereka, ruang santai seperti ini bukan sahaja mengangkat keunikan karya sastera tempatan, malah membuka peluang interaksi langsung antara penulis dengan pembaca.

Airul turut menyatakan bahawa pendekatan santai mampu menarik minat golongan muda terhadap sastera sekali gus menjadikan program seperti ini lebih inklusif.

Joe Julaihi, penulis karya Ragam dalam Perut Cicak menyatakan bahawa penulis baharu harus berani mencari suara sendiri dalam penulisan. Beliau yang memulakan langkah melalui penulisan puisi di majalah sekolah kini semakin dikenali dalam penulisan cerpen. Karya-karyanya pernah tersiar dalam akhbar Utusan Sarawak, Suara Sarawak, Eksentrika, Tunas Cipta dan Dewan Sastera.

Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman hidup merupakan sumber penting dalam penciptaan karya, malah sebahagian besar cerpen dalam Ragam dalam Perut Cicak berakar daripada pengalaman peribadinya. Pada masa yang sama, beliau mengingatkan agar penulis tidak tergesa-gesa dalam berkarya kerana sesebuah cerpen memerlukan masa dan ketelitian untuk dimatangkan.

Sekarang, beliau terlibat dengan kerja penterjemahan dan sedang menghabiskan penulisan novel.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Haji Ismail, bersama beberapa editor penerbitan berkala. Kehadiran mereka mencerminkan bahawa kegiatan sastera di Kuching masih mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi