Diterbitkan pada 19 April 2026, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keningau – Panelis dalam sesi wacana Tuntunan Karya Sastera: Menulis dari Hati bersepakat bahawa disiplin, ilmu dan kejujuran merupakan ramuan utama dalam berkarya.

Sesi wacana yang berlangsung di Dewan Tan Sri Sufian Koroh, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau semalam menjadi antara pengisian utama bersempena Festival Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum.

Program tersebut menampilkan panel berpengalaman, iaitu Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), YBhg. Datuk Jasni Matlani dan Pemenang Hadiah Sastera Sabah dalam kategori Buku Puisi Terbaik, YBrs. Puan Rita Robert Rawantas, manakala sesi dikendalikan oleh moderator, YBrs. Encik Mohd Ashrafi Harumin.

Dalam perkongsiannya, YBhg. Datuk Jasni menegaskan bahawa disiplin dan usaha berterusan merupakan kunci utama kejayaan dalam penulisan. Menurut beliau, setiap individu mempunyai jumlah masa yang sama, namun kejayaan ditentukan oleh sejauh mana seseorang memanfaatkan masa tersebut.

“Tiada siapa yang istimewa. Kita semua ada 24 jam sehari, dan bezanya mungkin saya bekerja lebih sedikit dalam bidang penulisan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penulis muda agar sentiasa memperbaiki karya masing-masing, termasuk memendekkan ayat yang meleret bagi memastikan ritma penulisan, khususnya puisi, lebih tersusun dan berkesan.

Selain itu, beliau menggalakkan peserta memanfaatkan masa, termasuk pada bulan Ramadan, untuk menulis dan berkarya daripada sekadar menunggu waktu berbuka atau sahur.

Sementara itu, YBrs. Puan Rita menekankan bahawa pengalaman hidup dan aktiviti harian boleh menjadi sumber inspirasi yang berharga dalam menghasilkan karya kreatif.

Beliau berkongsi pengalaman mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 10 kali, termasuk menyertai program yang mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records melalui pembacaan puisi beramai-ramai di puncak gunung tersebut.

Menurutnya, pengalaman tersebut bukan sahaja memberi kenangan bermakna, malah menjadi sumber idea yang akhirnya diterjemahkan ke dalam karya selepas melalui proses “pemeraman” yang panjang.

“Tidak semua idea perlu ditulis serta-merta. Kadangkala kita perlu peram dahulu sehingga matang sebelum diterjemahkan menjadi karya,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan peserta agar sentiasa mencatat pengalaman dan emosi yang dilalui, kerana memori manusia bersifat sementara dan mudah dilupakan.

Dalam sesi soal jawab, isu “writer’s block” atau kebuntuan ketika menulis turut dibincangkan. YBhg. Datuk Jasni berpendapat bahawa keadaan tersebut boleh diatasi dengan menambah ilmu dan memperluas bacaan.

Menurutnya, kekurangan pengetahuan sering menjadi punca utama penulis gagal mengembangkan idea.

“Kalau kita tidak tahu tentang sesuatu perkara, kita akan tersekat. Jadi cari ilmu, buat kajian dan tambah pengetahuan,” katanya.

Beliau juga menyarankan penulis untuk beralih kepada bentuk penulisan lain seperti puisi atau esei sekiranya menghadapi kebuntuan dalam menghasilkan cerpen atau novel.

YBrs. Puan Rita pula berpandangan bahawa “kebuntuan” dalam berkarya tidak wujud, sebaliknya kebuntuan ini berpunca daripada kekurangan “makanan minda”, iaitu membaca.

“Kalau lapar kita makan. Jadi kalau minda kita kosong, kita perlu membaca,” katanya sambil menggalakkan peserta mencari bahan bacaan yang sesuai dengan minat masing-masing.

Perbincangan turut menyentuh aspek cinta dalam penghasilan karya. Kedua-dua panel bersetuju bahawa cinta bukan sahaja terhad kepada hubungan peribadi, tetapi merangkumi cinta terhadap keluarga, masyarakat, negara dan Tuhan.

YBhg. Datuk Jasni menegaskan bahawa elemen cinta perlu hadir dalam setiap karya kerana elemen tersebut menjadi pemangkin emosi dan kekuatan naratif.

“Cinta itu luas, dan cinta mampu menggerakkan perasaan dan memberi makna kepada penulisan kita,” katanya.

YBrs. Puan Rita pula menambah bahawa penulis perlu mengekalkan keseimbangan emosi sepanjang proses penulisan, dari peringkat awal hingga karya siap sepenuhnya.

Mengakhiri sesi, kedua-dua panel menyeru generasi muda agar berani menceburi bidang penulisan dan tidak mensia-siakan bakat yang dimiliki.

YBhg. Datuk Jasni menekankan bahawa penulis memainkan peranan penting dalam masyarakat kerana mereka menentukan bahan bacaan dunia. “Kalau tiada penulis, dunia tidak ada bahan untuk dibaca,” katanya.

YBrs. Puan Rita pula menggalakkan peserta untuk mula menulis walaupun hanya satu perenggan, dan terus mengembangkan idea tersebut secara berperingkat.

Kredit Foto: DBP Cawangan Sabah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi