Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGombak – Institute of Public Relations Malaysia Student Association (IPRMSA) IIUM Chapter hari ini meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya, menandakan suku abad komitmen dalam melahirkan generasi profesional perhubungan awam yang beretika, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran industri.
Sambutan Jubli Perak ini menghimpunkan barisan akademia, pengamal industri, alumni, serta pelajar dalam satu platform yang meraikan legasi kecemerlangan, di samping memperkukuh peranan persatuan ini sebagai penghubung strategik antara pembelajaran di universiti dengan dengan amalan sebenar dalam industri perhubungan awam.
Sejak ditubuhkan secara rasmi pada 15 September 2001, IPRMSA IIUM Chapter telah berkembang daripada sebuah inisiatif kecil kepada sebuah organisasi pelajar yang berpengaruh dalam pembangunan bakat komunikasi yang strategik. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai program berimpak tinggi telah dilaksanakan termasuklah seminar profesional, kolaborasi bersama industri, serta inisiatif pembangunan kepimpinan yang memperkasakan pengetahuan pelajar di luar bilik kuliah.
Sambutan ulang tahun ini turut menyaksikan pelancaran buku kenang-kenangan yang merakamkan perjalanan, pencapaian dan kisah inspirasi alumni sepanjang 25 tahun penubuhan dan menjadi refleksi terhadap sumbangan yang bermakna pada organisasi ini kepada landskap perhubungan awam di Malaysia.
Pengasas IPRMSA IIUM Chapter, YBrs. Professor Dato’ Sri Dr. Syed Arabi Idid menekankan bahawa perhubungan awam merupakan disiplin yang penting untuk diamalkan.
“Saya mahu pelajar memahami bahawa perhubungan awam bukan sekadar subjek akademik. Bidang ini merupakan suatu disiplin yang perlu dihayati, diamalkan dan dibawa bersama sepanjang kerjaya mereka.”
Sementara itu, Penasihat IPRMSA IIUM Chapter, YBrs. Professor Madya Dr. Zeti Azreen Ahmad menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil sinergi yang berterusan antara akademia dengan industri.
“IPRMSA IIUM Chapter telah berfungsi sebagai penghubung penting antara universiti dengan industri, menyediakan pelajar pendedahan yang berharga, pandangan praktikal yang melengkapkan pembelajaran akademik mereka.”
Selari dengan tema “A Legacy of PR Excellence”, IPRMSA IIUM Chapter terus komited dalam mempertingkat standard profesionalisme pelajar dalam bidang perhubungan awam melalui penekanan terhadap etika, kemahiran komunikasi strategik, serta keupayaan menyesuaikan diri dalam landskap media yang sentiasa berubah.
Ulang tahun ini juga menjadi suatu pengiktirafan kepada komuniti alumni yang telah menyumbang secara bermakna dalam industri, sekali gus membuktikan keberkesanan model pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan oleh IPRMSA IIUM Chapter.