Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMerlimau – Politeknik Merlimau Melaka mengambil inisiatif memperkemaskan penulisan buletin sebagai usaha untuk memperkasakan penyampaian maklumat berkaitan pencapaian organisasi.
Penganjuran Kursus Penulisan Buletin Berkesan (Siri 2) tersebut berlangsung di Dewan Latihan As-Syafie, Unit Latihan Pendidikan Lanjutan, Politeknik Merlimau Melaka.
Kursus anjuran Unit Komunikasi Korporat Politeknik Merlimau Melaka ini telah disertai oleh 20 orang kakitangan daripada pelbagai jabatan yang merangkumi bidang teknikal dan bukan teknikal. Program ini dilihat sebagai platform penting dalam meningkatkan kualiti penyampaian maklumat berkaitan kejayaan serta pencapaian organisasi melalui bahan bacaan yang ringan, informatif dan mudah difahami.
Penganjuran kursus ini juga selaras dengan perkembangan media semasa yang menuntut penyampaian maklumat secara pantas, tepat dan menarik. Justeru, penguasaan teknik penulisan yang berkesan amat penting bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan lebih sistematik serta berimpak kepada pembaca.
Para peserta turut menerima bimbingan profesional daripada Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry. Dalam sesi tersebut, beliau menekankan kepentingan penggunaan laras bahasa yang tepat, gaya penulisan yang berkesan serta ketelusan dalam penyampaian maklumat bagi memastikan setiap pencapaian organisasi dapat didokumentasikan secara ilmiah dan tersusun.
Komitmen Politeknik Merlimau Melaka dalam memperkasa budaya penulisan buletin telah bermula sejak penganjuran kursus siri pertama pada 17 Disember 2025. Kesungguhan tersebut terbukti melalui penerbitan karya Ceritera Inspirasi Jabatan Pengajian Am (InsPenA), iaitu sebuah koleksi artikel yang diterbitkan dalam bentuk e-buku.
Penerbitan tersebut turut menerima pujian daripada Puan Nurul Julia Alani Henry yang menyifatkan usaha Ketua Editor, Puan Nur Farhana Misno bersama pasukan sidang redaksi sebagai satu pendekatan baharu dalam penulisan buletin melalui kaedah penulisan bersegmen yang diselaraskan dengan indikator prestasi utama (KPI) institusi.
Sementara itu, dalam ucapan penutup, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Ts. Dr. Maria Mohammad menyeru agar para peserta memanfaatkan ilmu yang diperoleh dengan membudayakan penulisan santai tetapi bersifat profesional.
Inisiatif seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan warga akademia sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta mengamalkan budaya penulisan sebagai medium penyampaian ilmu dan idea. Hal ini bertepatan dengan pepatah Arab yang menyatakan bahawa “ilmu ibarat haiwan buruan, manakala tulisan merupakan ikatan yang mengekalkannya.”