Diterbitkan pada 7 Mac 2026, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tangkak – Usaha memartabatkan warisan sastera Melayu terus diperkasakan apabila sebanyak 36 peserta terdiri daripada pengacara majlis, pemantun, penyair dan pelajar menyertai Bengkel Mencipta Pantun dan Mendendangkan Syair yang berlangsung di Dewan Sri Tanjung, Kolej Matrikulasi Johor semalam.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh YBrs. Puan Nur Fatin Ainina Nor Azman, Perancang Bahasa dari Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan dianjurkan oleh Kelab Orasi Kolej Matrikulasi Johor bagi memupuk minat peserta terhadap seni sastera tradisional Melayu.

Program interaktif ini membuka peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik mencipta pantun mengikut format yang betul, termasuk pembinaan pembayang dan maksud, pemilihan diksi yang sesuai serta keseimbangan rima bagi menghasilkan pantun yang indah dan bermakna. Bengkel ini juga memberikan pendedahan tentang teknik mendendangkan syair mengikut irama.

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan dengan beberapa irama syair seperti irama dodoi, irama hiasan dan irama perindu yang kelazimannya digunakan dalam pertandingan syair. Selain itu, peserta diperkenalkan dengan formula Tapak Pembayang (TaPem), iaitu teknik membina pembayang pantun yang bersesuaian untuk penulis pemula memahami struktur pembinaannya secara lebih sistematik.

Di samping itu, pelajar turut didedahkan dengan peluang penerbitan karya puisi seperti pantun dan syair dalam majalah DBP, misalnya Dewan Siswa dan Tunas Cipta yang sesuai untuk pelajar pendidikan tinggi dan penulis pemula yang minat akan sastera.

Menurut Yang Dipertua Kelab Orasi KMJ, Saudari Aisyah Nadhirah, bengkel ini membuka ruang kepada peserta untuk mengasah bakat serta meningkatkan keyakinan diri dalam berkarya dan membuat persembahan sastera.

“Program seperti ini bukan sahaja membantu peserta memahami teknik mencipta pantun dan mendendangkan syair, malah menyemarakkan minat generasi muda untuk terus menghargai keindahan bahasa dan warisan sastera Melayu,” katanya.

Penganjuran bengkel ini selari dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Usaha memelihara seni sastera tradisional seperti pantun dan syair adalah sangat penting untuk dilaksanakan agar khazanah puisi Melayu terus kekal relevan dan dihargai oleh generasi muda. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, “tak lapuk di hujan, tak lekang di panas”.

Kredit Foto: Nur Fatin Ainina Nor Azman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi