Diterbitkan pada 5 Mac 2026, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Nicodemos Jude

KuchingSee Hua Daily News bakal menerbitkan sebuah ruangan baharu yang menyiarkan karya kreatif bahasa Melayu hasil penulis Cina tempatan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Cadangan penerbitan ruangan baharu berkenaan serta bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak dibincangkan dalam pertemuan yang diadakan antara Pengarah Urusan See Hua Daily News, Encik Chia Chiew Boon dengan Editor Penerbitan Berkala DBP Cawangan Sarawak, Puan Saidatul Faiqah Samasu pada 4 Mac 2026, Rabu, yang lalu.

Melalui kerjasama tersebut, See Hua Daily News akan menyediakan ruangan khas untuk menyiarkan karya certot bahasa Melayu yang dicadangkan diterbitkan bermula pada Januari 2027.

Inisiatif ini bertujuan untuk memperluas pelibatan masyarakat Cina dalam penulisan kreatif bahasa Melayu, di samping menyokong usaha memperkukuh penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Encik Chia Siew Boon (kiri), Pengarah Urusan See Hua Daily, menerima cenderamata daripada Puan Saidatul Faiqah Samasu.

Sebagai persediaan, beberapa bengkel penulisan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini bagi memenuhi keperluan ruangan baharu itu kelak.

Bengkel tersebut dijangka akan diadakan sebanyak dua kali dengan melibatkan dua zon sebagai permulaan. Sasaran program ini ialah pelajar Cina, para guru dan orang awam yang berminat untuk mendalami penulisan kreatif dalam bahasa Melayu.

Peserta bengkel akan dibimbing oleh penulis Cina yang berpengalaman dalam bidang penulisan cerpen (certot) atau puisi bagi memberikan pendedahan tentang teknik penulisan kreatif dalam bahasa Melayu.

Cadangan penerbitan ruangan baharu ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama yang telah dilaksanakan sebelum ini antara DBP Cawangan Sarawak dengan Sin Chew Daily melalui ruangan Bahasa Ekspresi Sastera Tunas (BEST). Ruangan tersebut mula diterbitkan pada April 2023 dengan menyiarkan dua buah puisi karya penulis Cina pada setiap bulan.

Sin Chew Daily menjadi akhbar berbahasa Cina pertama di Malaysia yang menerbitkan ruangan karya kreatif bahasa Melayu dalam akhbarnya. Sejak dilaksanakan, ruangan BEST telah membuka ruang kepada masyarakat Cina untuk mendekati bahasa Melayu melalui medium sastera dan penulisan kreatif.

Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Penolong Editor, Nicodemos Jude serta Editor Kanan See Hua Daily News, Encik Kuek Ching Sze.

Kerjasama ini diharapkan agar dapat memperluas penyertaan masyarakat Cina dalam bidang penulisan kreatif bahasa Melayu serta memperkaya landskap kesusasteraan tempatan melalui sinergi antara institusi bahasa dengan organisasi media.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi