Diterbitkan pada 7 Februari 2026, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Penulis perlu berani menghasilkan dan menghantar karya selepas menyertai bengkel atau sesi bimbingan kerana itulah matlamat utama penyertaan mereka, untuk menambah ilmu, pengalaman dan keyakinan dalam penulisan.

Demikian penegasan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), YBrs. Puan Ariza Che Ismail ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penutupan Program Bimbingan Kreatif dan Deskriptif 2026 di Dewan Seminar DBPWT, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Program anjuran DBPWT dengan kerjasama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) tersebut telah dijalankan secara dalam talian selama empat minggu sejak 16 Februari 2026 dengan tujuan untuk membimbing penulis menghasilkan karya bermutu seterusnya menghantarnya untuk penyiaran.

Beliau turut membetulkan tanggapan salah penulis terhadap editor yang sering menjadi penghalang untuk menghantar karya. Menurut beliau, kualiti karya menjadi keutamaan editor, bukan hubungan peribadi dengan penulis, kerana setiap penerbitan mempunyai piawaian tersendiri.

Sementara itu, Ketua 1 GEMA, YBrs. Encik Zainal Abidin Muhamad, dalam ucapan alu-aluannya mengingatkan bahawa perjalanan seorang penulis merangkumi tiga proses penting, iaitu membaca, menulis dan menghantar karya untuk penyiaran.

Beliau menegaskan bahawa karya bermutu sentiasa dinantikan oleh editor dan penulis perlu terus berusaha menghasilkan karya yang layak diterbitkan.

Dialog Editor yang menjadi acara kemuncak pada hari ini telah menampilkan Editor Berita Harian, Puan Hafizah Iszahanid; Editor Tunas Cipta, Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob; Editor WadahDBP, Puan Anis Salwani Awang Mohammad sebagai ahli panel dan Ketua Penerangan GEMA, YBrs. Dr. Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik selaku moderator berkongsi tentang piawaian serta keperluan karya untuk diterbitkan.

Inti pati Dialog Editor tersebut menekankan bahawa sesebuah karya perlu membawa mesej bermanfaat dan nilai murni yang jelas.

Kolaborasi DBPWT dan GEMA ini merupakan kesinambungan penganjuran program bimbingan penulisan sebelum ini yang telah melahirkan ramai penulis tempatan berprestasi tinggi serta berpotensi menjadi pelapis sastera tanah air.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi