Diterbitkan pada 28 Januari 2026, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Seramai 31 orang penulis terdiri daripada guru sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negeri Perlis menerima penghargaan khas sempena Majlis Eduinovasi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis 2026.

Majlis Penghargaan Penulis Buku Tarian Pena Lakaran Rasa itu diadakan bagi menghargai sumbangan semua pengkarya yang terlibat dalam penerbitan buku tersebut. Karya-karya mereka merangkumi genre penulisan kreatif yang mencerminkan pengalaman, nilai pendidikan serta kreativiti pendidik sekarang.

Pengarah Pendidikan Negeri Perlis juga menzahirkan rasa bangga atas komitmen tinggi para pendidik yang bukan sahaja berperanan sebagai guru di bilik darjah, malah turut berkarya untuk memartabatkan dunia sastera dalam pendidikan.

Beliau menyifatkan penyertaan 31 pengkarya itu sebagai bukti bahawa warga pendidik Perlis kaya dengan bakat, inovasi dan identiti tersendiri.

Majlis Eduinovasi JPN Perlis 2026 turut mengetengahkan pelbagai inisiatif kreatif dalam pendidikan dan penghargaan kepada para penulis. Hal ini menjadi satu daripada pengiktirafan terhadap usaha memupuk budaya ilmu dan penulisan dalam kalangan guru.

Penghargaan tersebut diharap dapat terus menyuntik inspirasi kepada warga pendidik Perlis untuk terus berkarya, berkongsi ilmu serta meneruskan tradisi penulisan yang memberi nilai tambah kepada pembangunan pendidikan negeri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi