Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh : Nur Aqilah Huda Abdul Jamal
Semangat menulis pelajar program Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif kembali berdenyut rentetan penganjuran Bengkel Pengkaryaan Karya Kreatif Pelajar oleh Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia pada 3 November lepas bertempat di Bilik Mesyuarat Zamrud, SLCP.
Penceramah jemputan, Encik Hasan Baseri Budiman berkongsi ilmu dan pengalaman luas beliau dalam dunia penulisan.
Menurut beliau “Karya yang baik lahir daripada persekitaran yang menjentik hati nan jujur serta pemikiran yang mendalam. Setiap karya harus menjadi cermin diri dan perakam zaman. Di situlah letaknya nilai sastera yang sebenar.”
Tambah beliau lagi, bengkel yang dianjurkan bukan sekadar ruang pembelajaran, tetapi juga tempat berinspirasi selain memperkukuh hubungan antara dunia akademik dengan dunia sastera.

Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan kepada teknik penulisan kreatif, pemantapan gaya bahasa, serta cara membina imaginasi yang segar dan autentik. Pihak penganjur berhasrat untuk membolehkan para mahasiswa mendalami seni penulisan, khususnya cerpen yang sentiasa menjadi nadi dalam dunia kesusasteraan tanah air.
