Diterbitkan pada 31 Oktober 2025, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Pahat – Sayembara Pantun Teknologi Era Baharu (SUTERA) yang bertemakan “Inovasi Teknologi Nadi Kelestarian Negara” menjadi acara kemuncak dalam Majlis Penutupan Hussein Innovation and Talent Symposium (HITS) 2025 yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) semalam.

Pertandingan yang menggabungkan keindahan bahasa warisan dengan dunia teknologi moden itu memperlihatkan kreativiti pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi dalam mengungkap tema seperti pendidikan TVET, keselamatan siber, industri kerepek Batu Pahat, revolusi industri 4.0, inovasi pembelajaran, teknologi hijau, pelancongan Johor, kecerdasan buatan (AI), STEM, ekosistem digital dan industri aeronautik yang disulam dalam bentuk pantun empat kerat.

Kemenangan berpihak kepada pasukan Nayana Manih dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dinobatkan sebagai Johan dan membawa pulang wang tunai RM2,500, plak, sijil serta buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 

Naib Johan dimenangi oleh pasukan Nilakandi dari Universiti Malaya (UM) yang menerima RM2,000, plak, sijil dan buku terbitan DBP. 

Sementara itu, tempat ketiga bersama menjadi milik pasukan Atma Sujana dan Niskala Renjana dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), yang masing-masing menerima RM1,000, plak, sijil dan buku terbitan DBP.

Dalam kategori individu, Muhammad Fawwaz Zafran Zaidi dari pasukan Nilakandi dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik, manakala Muhammad Adam Afiq Zainorindari kumpulan yang sama turut tersenarai sebagai Pemantun Empat Terbaik. Muhammad Aqil Mujahid Mukhtar pula menerima anugerah Pemantun Akhir Terbaik.

Selain kehebatan berbalas pantun, keunikan persembahan turut diraikan menerusi kategori Busana Terbaik yang dimenangi oleh Niskala Renjana dan Pengenalan Terbaik oleh Nilakandi.

Majlis penutupan turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UTHM, Profesor Madya Dr. Khalid Isa, yang menekankan bahawa HITS merupakan platform tahunan untuk memperkasa potensi pelajar melalui inovasi, kreativiti dan kepimpinan.

Dalam ucapan perasmian penutupan pula, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Dr. Abdul Rashid Abdul Razak, menegaskan bahawa HITS berperanan penting dalam melahirkan modal insan berdaya saing serta menggalakkan pemikiran kritis dan kolaborasi strategik dalam kalangan pelajar.

Kredit Foto: Media SUTERA HITS 2025
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi