Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Lebih 1,000 orang pengunjung yang terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa, guru serta penggiat industri berkaitan dengan kanak-kanak hadir memeriahkan ‘Sambutan Hari Kanak-kanak Perlis 2025’ anjuran Children’s Industry Lifelong Learning and Development Hub (CHILD) dengan kerjasama rakan strategik dan pelbagai pihak berkepentingan.
Acara ini berlangsung di Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis yang bertemakan “Bersama Anak, Membina Masa Depan”.
Menurut Pengerusi CHILD Khalimahtul Idereena Lim, ‘SD28’s Arau CHILD’ ini bukan sahaja meraikan kanak-kanak di negeri ini, tetapi turut menyediakan ruang kepada keluarga, pendidik dan masyarakat untuk bersama-sama menghayati kepentingan melindungi, mendidik serta mengembangkan potensi generasi muda.

Sementara itu, penganjur juga menyediakan aktiviti menarik bagi memupuk kreativiti, keyakinan diri dan hubungan kekeluargaan, antaranya termasuklah Pertandingan Melukis, Bercerita, Memasak serta Membina Bersama Bongkah bagi menggalakkan kerjasama erat antara kanak-kanak dengan ahli keluarga.
“Selain itu, turut diadakan Pertandingan Kulinari Khas untuk individu dewasa serta pengusaha makanan dan minuman dengan cabaran menyediakan hidangan sihat dan mesra kanak-kanak yang berusia tiga tahun hingga lapan tahun. Inisiatif ini diharap dapat mendorong amalan pemakanan sihat dalam kalangan keluarga sejak usia awal,”ujarnya.
Sambutan Hari Kanak-kanak Perlis 2025 menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Khalimahtul Idereena Lim turut menzahirkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memastikan golongan kanak-kanak dilindungi, diberikan peluang yang saksama serta disediakan persekitaran kondusif untuk mereka membesar sebagai generasi masa depan negara.
“Pelibatan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadikan sambutan ini bukan sahaja memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak, malah memperkukuh semangat kebersamaan, kasih sayang dan tanggungjawab kolektif terhadap generasi pewaris bangsa,” tambah beliau.