Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Majlis Pertemuan dan Deklamasi Puisi anjuran Grup Penulis Langkawi (GPL) di Camp Café Langkawi, suatu kawasan riadah di tengah kawasan sawah telah diadakan pada 17 Ogos yang lalu. Majlis ini diadakan bagi meraikan penerbitan buku Antologi Puisi Curahan Kasih di Tepian Segara yang diterbitkan oleh GPL.
Dalam ucapan alu-aluan majlis, Izzat Isa sebagai penyelenggara antologi tersebut melahirkan kesyukuran atas segala daya usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh 38 orang penulis Langkawi yang menghasilkan dan menyumbangkan karya puisi sehingga terkumpul sebanyak 92 karya.

Karya yang dihasilkan juga rencam bentuknya, terdiri daripada sajak, pantun, syair, gurindam, seloka dan mantera. Penyelenggara berharap buku ini menjadi titik mula kepada GPL untuk terus berkembang dan dapat memberikan nilai kepada bidang penulisan dan kesusasteraan di peringkat daerah Langkawi.

GPL terdiri daripada ahli yang wujud daripada pelbagai latar pendidikan, kerjaya, usia dan genre penulisan. Misalnya, terdapat ahli muda yang berusia 18 tahun, ahli yang bertugas sebagai guru atau pensyarah, dan ahli yang menulis karya akademik dan ilmiah.
Kemuncak majlis ialah acara deklamasi puisi oleh para ahli GPL. Puisi yang deklamasikan diambil daripada Antologi Puisi Curahan Kasih di Tepian Segara. Firdaus al-Radzi membuka pentas dengan mendeklamasikan sajak berjudul “Kepulangan yang Aman”, diikuti oleh Ainur Syakirah Muhd Hissam dengan “Pantun MRSM Langkawi” dan Wayandaman dengan sajaknya, “Cerita Aku dan Engkau”. Aiman. B menambah sensasi malam deklamasi puisi dengan memperdengarkan syair berjudul Syair Ibu Bapa Anugerah Tuhan dan sajak “Hargai Selagi Ada”. Seterusnya, Danish Hakimi Hamidon mendeklamasikan puisi berjudul “Dia Insan”.

Majlis ditamatkan dengan bacaan sajak oleh Firdaus al-Radzi berjudul “Air Mata Melayu” dan nyanyian lagu puisi oleh Mikail Leow Lai Seng. Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Puan Morne Hashim, pengasas dan pengarah Festival Penulis Langkawi dan Dato’ Kamarulzaman Abdul Ghani, presiden pertubuhan bukan kerajaan Friends of Langkawi (FLAG) yang juga merupakan penulis buku berkaitan Langkawi Geopark.