Diterbitkan pada 24 Ogos 2025, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Sayembara Deklamasi Puisi Sains dan Teknologi Peringkat Negeri Kelantan tahun ini mencatatkan penyertaan tertinggi sejak mula dianjurkan pada tahun 2001, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 223 orang peserta.

Penyertaan terbesar tersebut melibatkan tiga kategori utama, iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Terbuka, dengan majoritinya daripada kategori Sekolah Rendah yang menghimpunkan sebanyak 150 orang peserta.

Menurut Ketua 1 Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), YBrs. Encik Zainal Abidin Muhamad, media sosial menjadi platform awal penyertaan, di mana peserta perlu memuat naik rakaman video persembahan melalui Facebook bagi tujuan saringan sebelum mara ke pentas akhir secara bersemuka.

Oleh itu, beliau berkata pendekatan tersebut membuka peluang kepada para peserta deklamator dari seluruh pelusuk negeri untuk turut serta tanpa kekangan jarak fizikal.

Dalam pertandingan itu, kategori Terbuka menyaksikan Nik Hashima Ismail meraih johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM600.00, manakala Nik Fateeha Syuhada Imran di tempat kedua dan Naeema Natasya Puteri Mohd Ghazali di tempat ketiga yang masing-masing menerima wang tunai RM450.00 dan RM300.00.

Sementara itu, kategori Sekolah Menengah dimenangi oleh Tuan Nur Adni Qaisara Tuan Nazir dari SMK Dato’ Perdana, Bachok dengan menerima RM400.00, diikuti pemenang di tempat kedua, iaitu Nurul Aimy Insyirah Muhammad dari SMK Pengkalan Chepa (RM300.00) dan tempat ketiga, iaitu Nurin Fatma Elzahraa Rosmi dari SMK Panggung Jaya, Gua Musang (RM250.00).

Bagi kategori Sekolah Rendah pula, Putera Indera Haqiqi Mohd Farizuan dari SK Sultan Ismail 1 muncul johan dengan menerima RM250.00, manakala Ahmad Airil Ramidhani dari SK Buloh Poh sebagai naib johan (RM200.00) dan Sufi Aishah Azwadi dari SK Islah di tempat ketiga (RM150.00).

Sebanyak 10 peserta terbaik daripada setiap kategori dipilih untuk beraksi di pentas akhir.

Pada masa yang sama, Hadiah Khas Juri Awam juga menobatkan peserta dengan perkongsian terbanyak dalam media sosial Facebook dengan hadiah wang tunai RM100.00 dengan Lau Lina Lian mengungguli bagi kategori Terbuka, Vylove Khoo Wen Ai (SMJK Chung Hwa) bagi kategori Sekolah Menengah dan Nur Balqis Azhar (SJKC Peir Chih) dalam kategori Sekolah Rendah.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail dalam ucapan perasmiannya berkata, tema sayembara yang dahulunya berteraskan Bulan Bahasa Kebangsaan kini digantikan dengan tema sains dan teknologi bagi membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang ini.

“Hal ini sekali gus menonjolkan kemampuan bahasa kebangsaan digunakan dalam bidang sains dan teknologi,” katanya dalam majlis penyampaian hadiah program berkenaan di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) semalam.

Beliau turut menambah bahawa ketika idea penganjuran sayembara ini mula dibentangkan, terdapat pelbagai maklum balas diterima, termasuk pandangan yang tidak bersetuju kerana mahu menjaga nilai estetika sajak.

Namun begitu, pada tahun 2023, DBP Wilayah TImur dengan kerjasama GEMA tetap meneruskan penganjurannya kerana beriltizam bahawa sastera harus terbuka kepada inovasi bagi memastikan kelestariannya seiring dengan zaman semasa.

Dalam pada itu, sayembara pada tahun ini turut mendapat kerjasama langsung daripada Perbadanan PPAK serta sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah di seluruh negeri.

Pentas akhir sayembara ini diadili oleh Setiausaha 1 GEMA, Mohd Zizee Setapa selaku ketua juri bersama-sama dengan dua deklamator kebangsaan, Norzailani Mohd Nuzi dan Abdul Hadi Yusoff.

Barisan juri Sayembara Deklamasi Puisi Sains dan Teknologi Peringkat Negeri Kelantan 2025.
Kredit Foto: Tuan Siti Mastazameatun
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi