Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Tuah mendeklamasikan sajak berjudul “Idaman Taman Indera Bestari” karya Awang Ali Kemaman, Muhammad Aidil Firdaus yang berusia 14 tahun dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Deklamasi Puisi Bertemakan Warisan Melayu yang diadakan bersempena Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH) 2025 di Hotel Grand Darul Makmur, semalam.

“Saya telah dibimbing oleh emak saya sendiri, iaitu Dr. Nor Asliza dalam mendeklamasikan sajak tersebut dan guru pengiring saya ialah Ustazah Quratul Aini.” ujarnya selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan anjuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200.00, piala iringan, hadiah sampingan dan sijil penyertaan setelah berjaya menewaskan 17 orang peserta yang lain.

Sementara itu, naib johan disandang oleh Muhammad Afiq Haziq dari SMK Bukit Goh, Kuantan, yang mendeklamasikan sajak berjudul “Jangan Biar Jati Itu Mati” dan tempat ketiga dimenangi oleh Aiza Afriena dari SMK (P) Methodist, Kuantan dengan sajak yang dideklamasikan olehnya berjudul “Milik Siapakah Tanah Ini?”.

Muhammad Aidil Firdaus (tengah), Muhammad Afiq Haziq (kanan) dan Aiza Afriena (kiri) bergambar selepas majlis penyampaian hadiah.

Naib johan membawa pulang hadiah wang tunai RM150.00, piala iringan, hadiah sampingan dan sijil penyertaan; dan pemenang tempat ketiga memenangi hadiah wang tunai RM100.00, piala iringan, hadiah sampingan dan sijil penyertaan.

Selain itu, hadiah sagu hati menjadi milik Wan Alya Ardiana dari Maktab Rendah Sains MARA, Kuantan dengan sajak berjudul “Budaya Ini Milik Kita” dan Ahlam Noor Afrina dari SMK Sungai Isap dengan sajak berjudul “Budaya Cerminan Bangsa”.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi