Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 8 Julai 2025, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sekolah Methodist Wesley melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan Buku Rekod Malaysia (Malaysia Book of Records) sebagai sekolah pertama yang menerbitkan buku antologi poligenre dwibahasa, berjudul Perpaduan: Resepi Kejayaan Malaysia.

Penerbitan karya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu merupakan inisiatif sekolah berkenaan yang berhasrat memperkukuh nilai perpaduan menerusi seni kesusasteraan.

Selain itu, antologi tersebut turut menghimpunkan pelbagai genre sastera seperti pantun, syair, gurindam, sajak, anekdot, cerpen serta artikel bertemakan perpaduan hasil para penulis yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam negara.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat (YB) Tuan Steven Sim Chee Keong bersempena dengan Sambutan Hari Perpaduan 2025 di Sekolah Methodist Wesley pada pagi tadi.

Menteri Sumber Manusia, YB Tuan Steven Sim Chee Keong ketika menyempurnakan gimik perasmian buku antologi poligenre dwibahasa Perpaduan: Resepi Kejayaan Malaysia.

Pengetua Sekolah Methodist Wesley, YBrs. Encik Wong Chee Keon ketika dalam sidang media berkata idea penulisan buku tersebut tercetus bagi menyemai dan menyebarkan elemen perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, buku itu bakal dijadikan sebagai bahan rujukan pembelajaran dan dijual kepada masyarakat setelah cetakan tambahan dilakukan kerana sekolah tersebut telah memegang hak cipta sepenuhnya.

Pengetua Sekolah Methodist Wesley, YBrs. Encik Wong Chee Keon ketika memberikan kenyataan dalam sidang media.

Sementara itu, penyelenggara buku, YBrs. Dr. Sundarappandian Valusamy menjelaskan bahawa buku tersebut turut digunakan sebagai satu daripada bahan bantu mengajar bagi para pelajar, memandangkan kandungan dwibahasanya yang unik, sukar diperoleh dalam pasaran sedia ada.

Jelas beliau, penerbitan buku itu sangat istimewa kerana memuatkan sumbangan karya daripada 27 orang penulis tamu tempatan dan antarabangsa seperti Tan Sri Johan Jaafar, Dr. Victor Pogadaev, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Hajah Rosnani Jamil serta Sasterawan Negara.

Mengulas lanjut, tempoh untuk menyiapkan buku itu mengambil masa hampir enam bulan kerana proses penerbitannya memerlukan penyusunan manuskrip yang melibatkan pengasingan karya pelajar serta bimbingan intensif kepada mereka lantaran sebahagian besar kandungannya dihasilkan oleh para pelajar sendiri.

Pengarah Pendidikan Swasta, Majlis Pendidikan Methodist, YBrs. Encik Lim Kah Cheng pula menyifatkan penerbitan buku tersebut sebagai satu kejayaan, khususnya dalam usaha menangkis persepsi khalayak yang menganggap sekolah antarabangsa tidak memberikan penekanan terhadap unsur patriotik, seni tempatan dan bahasa Melayu.

Beliau juga memaklumkan bahawa buku tersebut akan diedarkan kepada perpustakaan sekolah di bawah naungan Majlis Pendidikan Methodist yang merangkumi 53 buah sekolah mubaligh dalam negara sebagai galakan.

Yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran buku tersebut ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), YBhg. Datuk Seri Wong Chun Wai; Pengarah Institut Aminuddin Baki, YBrs. Encik Abdul Aziz Mamat; Uskup Gereja Methodist Malaysia, YBrs. Dr. T. Jeyakumar; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Methodist Wesley, YBrs. Encik Tan Ay Zing; seniman tanah air, YBhg. Datuk Hajah Rosnani Jamil serta para pelajar.

Kredit Foto: Zulhilmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi