Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 13 Jun 2025, 11:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Dalam arus perkembangan kesusasteraan semasa, sastera kanak-kanak dan remaja tidak terlepas daripada menghadapi cabaran apabila bidang tersebut bagi golongan berkeperluan khas masih berada di pinggiran ketika ini, meskipun semakin mendapat perhatian khalayak pada peringkat nasional.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan menegaskan bahawa kandungan sastera yang bersesuaian dari segi bentuk, bahasa dan keperluan kognitif bagi golongan ini masih belum mencukupi.

“Hal ini termasuklah penghasilan buku bergambar dengan huruf besar, naratif yang sesuai bagi kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, disleksia atau pelbagai ketidakupayaan lain,” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama beliau bersempena dengan Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-14 di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Ujar beliau, penerbit dan penulis perlu lebih peka terhadap konsep sastera, yang bukan hanya berfokuskan kepada khalayak yang berkemampuan, tetapi juga menyantuni golongan keperluan khas dengan pendekatan yang berbeza.

Menyedari hakikat tersebut, beliau menekankan bahawa keilmuan mereka tidak wajar dipandang enteng, sebaliknya perlu menjadi tunjang supaya dunia kanak-kanak dan remaja dalam sastera bersifat terangkum serta tidak terpisah.

“Perkara ini menuntut kerjasama dalam kalangan penerbit, pakar pendidikan khas, ilustrator, keluarga yang arif tentang keperluan golongan ini serta semua pihak agar mereka tidak tercicir,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar DBP dan para penerbit dapat meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah judul tahunan bagi penerbitan buku kanak-kanak remaja khusus untuk golongan berkeperluan khas memandangkan jumlah mereka yang semakin meningkat saban tahun.

Dalam ucaptama tersebut, beliau turut menyentuh tentang penerbitan bahan digital yang semakin mendapat tempat, lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja berbanding dengan buku fizikal.

“E-buku, buku interaktif, audio siar cerita dan video animasi adaptasi karya sastera kini menjadi pelengkap kepada pengalaman membaca,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa bahan digital bukan melibatkan transisi medium daripada kertas kepada skrin semata-mata, sebaliknya nilai sastera mesti terus dipelihara kerana perkara yang utama ialah kandungan dan kesannya terhadap pembentukan sahsiah serta pemikiran kanak-kanak dan remaja.

Tambah beliau, sehingga kini, industri penerbitan buku sastera kanak-kanak dan remaja di Malaysia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, terutama pascapandemik COVID-19 yang membuka ruang kepada inovasi dalam penyampaian kandungan.

“Banyak penerbit, termasuk syarikat tempatan yang kecil, mula memberikan tumpuan kepada genre ini kerana potensinya dalam membentuk minda, nilai dan jati diri generasi muda,” jelasnya.

Namun begitu, dalam limpahan judul yang diterbitkan pada setiap tahun, hanya sebahagian kecil yang benar-benar mengangkat nilai sastera, estetika bahasa dan kehalusan pemikiran yang sesuai untuk generasi muda.

Persaingan dengan bahan bacaan popular, permainan digital dan media sosial turut menjadi cabaran besar kepada daya tarikan buku sastera dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Di samping itu, beliau mengiktiraf peranan penulis, pengkarya, penggiat bahasa, ilustrator, editor dan syarikat penerbit sebagai pemegang taruh utama dalam ekosistem bahasa dan sastera yang harus dihargai dan diraikan.

“Tanpa mereka, kita tidak mungkin mencapai matlamat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja dalam perkembangan sosial di negara kita,” tegasnya.

Bagi beliau, generasi muda pada hari ini bukan sahaja perlu celik huruf tetapi juga celik budaya, nilai serta jati diri; dan sastera menjadi alat utama yang membentuk perkara itu.

Yang turut hadir dalam majlis ucaptama tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FBMK UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz; Pensyarah Kanan FBMK UPM, YBhg. Profesor Madya Datin Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi; Ketua Jabatan Bahasa Melayu FBMK UPM, YBrs. Dr. Fazilah Husin; Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Encik Mohd Azam Juhari; Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor, karyawan DBP, pensyarah UPM dan para pelajar.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi