Diterbitkan pada 10 Jun 2025, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Sesi perkongsian bersama-sama Encik Najib Aroff, yang dikendalikan oleh pelajar tahun akhir jurusan ECOM, Annisa Batrisyia

Oleh: Farizol Mazlan

Bukit Jalil – Sebanyak 40 orang pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh yang terdiri daripada jurusan Bahasa Inggeris bagi Komunikasi Antarabangsa (ECOM) dan Bahasa Melayu bagi Komunikasi Antarabangsa (MCOM) telah menyertai lawatan akademik ke Astro Awani di Pusat Penyiaran Asia Astro, Taman Teknologi Malaysia.

Lawatan ini dilaksanakan menerusi program Ecommunity Voyage to Astro Awani yang dianjurkan oleh Office of ECOM melalui kerjasama Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Persatuan Pelajar Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL), UIAM Pagoh.

Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar terhadap suasana kerja dalam industri media dan kewartawanan. Rombongan pelajar disambut mesra oleh Penolong Naib Presiden Bahagian Editorial Astro Awani, Encik Najib Aroff.

Menurut Ikmal Najmi, Pengarah Program, lawatan ini membuka ruang kepada para pelajar untuk memahami peranan media dalam membentuk wacana antarabangsa.

“Kita mahu mahasiswa UIAM Pagoh melihat sendiri kepentingan media dalam mencorakkan persepsi global serta menyedari impak besar media dalam landskap diplomasi dunia,” ujar beliau.

Sementara itu, Penyelaras Program, Arrysyah Soffeah, menekankan kepentingan persediaan menyeluruh dalam kalangan pelajar sebelum melangkah ke dunia kerjaya sebenar.

“Melalui lawatan ini, saya berharap semua peserta memperoleh ilmu bermanfaat, baik yang berlaku di hadapan mahupun di sebalik tabir. Mahasiswa perlu bersedia dari segi fizikal, mental, emosi dan pengetahuan,” jelasnya.

Lawatan turut diserikan dengan sesi perkongsian bersama-sama Encik Najib Aroff yang berkongsi hala tuju, matlamat serta perkembangan semasa Astro Awani. Sesi ini dikendalikan oleh pelajar tahun akhir jurusan ECOM, Annisa Batrisyia.

Dalam satu hantaran di laman Facebook milik beliau, Encik Najib Aroff menyatakan bahawa para pelajar ini merupakan pelapis muda yang berbakat dan diyakini mampu memacu perubahan dalam industri media pada masa akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi