Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Mahathir Mohd Akhar
Negeri Sembilan – “Kesusasteraan Melayu tidak boleh lari daripada dua komponen utama, iaitu budi dan kebijaksanaan,” demikian tegas YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari dalam sesi Bicarawara Sasterawan Negara bersama Karyawan Muda yang berlangsung pada 31 Mei 2025 di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Bicarawara ini dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan USIM dan Kelab Penerbitan Kreatif USIM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).
Mengangkat tema “Sastera Merentasi Generasi: Warisan, Perubahan dan Perjuangan”, bicarawara ini menghimpunkan tiga panel terkemuka dalam dunia kesusasteraan Melayu, iaitu YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari; Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dr. Fadh Razy dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Shamsudin Othman.
Dalam sesi tersebut, SN Dato’ Rahman menekankan bahawa sastera Melayu moden harus berpaksikan dua nilai utama yang telah lama menjadi jati diri bangsa, iaitu budi dan kebijaksanaan. Beliau menegaskan bahawa meskipun zaman berubah, dua unsur ini tidak boleh diketepikan kerana mencerminkan akar dan roh masyarakat Melayu. Beliau turut menyarankan agar para karyawan muda merujuk tokoh-tokoh besar Nusantara seperti Chairil Anwar, SN Dato’ Usman Awang, Kassim Ahmad, SN Datuk A. Samad Said dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad sebagai inspirasi dan rujukan karya.
Panel kedua, Dr. Fadh Razy, mengupas pentingnya “memasyarakatkan” sastera Melayu dengan menolak dikotomi antara sains dengan sastera yang semakin menjarakkan masyarakat daripada seni. Katanya, “Sastera adalah produk kehidupan,” menandakan bahawa sastera seharusnya menjadi sebahagian daripada cara hidup, bukan sekadar pilihan atau simbol intelektualisme. Beliau juga menekankan keperluan menggunakan teknologi secara bijaksana bagi menyebarluaskan keindahan sastera dan mendekatkan masyarakat kepadanya.
Dr. Shamsudin Othman pula melihat teknologi sebagai pelengkap kepada perkembangan kesusasteraan. Katanya, teknologi adalah pelengkap dan alat terbaik untuk menyebarkan keindahan kesusasteraan. Beliau menggesa karyawan muda untuk menggunakan platform media sosial bagi mengetengahkan karya mereka. Namun, beliau turut mengingatkan agar etika berkarya dipelihara, khususnya dalam memberikan kredit kepada penulis asal dan mengelakkan plagiat.
Dalam sesi soal jawab, SN Dato’ Rahman menyentuh tentang cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam dunia sastera dan menjelaskan bahawa cabaran ini boleh dihadapi selagi ada usaha bersama agensi seperti DBP untuk melindungi dan memajukan kesusasteraan Melayu. Dr. Fadh Razy pula menasihatkan penulis baharu agar memperbanyakkan pembacaan sebagai asas kepada penulisan yang matang. Dr. Shamsudin menutup dengan menyeru para karyawan muda agar lebih berani menghantar karya mereka ke platform seperti Tulang Kata, majalah DBP dan akhbar seperti Berita Harian.