Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kekurangan bahan bacaan berkualiti tentang anak autisme dalam sastera kanak-kanak merupakan topik utama yang dibincangkan dalam segmen “Menggubah Realiti Chempaka”, yang bersiaran langsung dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menerusi Studio Bayan, TVGAPENA di aplikasi Facebook dan YouTube.
Segmen tersebut menampilkan penulis prolifik, Puan Nisah Haron, yang membincangkan karya terbaharunya bertajuk Chempaka dengan Piano, bersama-sama editor buku tersebut, Puan Rozninah Abd Azib.

Menurut Nisah, novel tersebut ditulis khas buat ibu bapa yang mempunyai anak autisme dan juga kepada masyarakat umum sebagai usaha menyantuni dan memahami anak-anak istimewa ini. Terangnya,
Autisme bukan penyakit tetapi satu keadaan neurologi yang menjadikan cara mereka berfikir berbeza. Buku ini meraikan perbezaan itu.

Watak utama, iaitu Chempaka digambarkan sebagai anak autisme yang meminati anime dan manga (komik Jepun) serta terinspirasi dengan siri Demon Slayer yang menampilkan watak Tanjiro dan Nezuko. Dalam novel ini, watak Amir Mustafa cuba berkomunikasi dengan Chempaka dengan membayangkan dirinya sebagai Tanjiro.
“Aku Tanjiro, kau macam Nezuko… Dan akhirnya pertolongan itu sampai kepada Chempaka,” kata Nisah, memetik satu daripada dialog daripada novel tersebut.
Editor buku, Puan Rozninah turut memuji pendekatan kreatif yang digunakan oleh Nisah dalam menyampaikan mesej yang agak “berat” secara santai dan bersahaja. Jelasnya,
Kisah ini tidak menggambarkan ibu bapa Chempaka sebagai sedih atau berbahagia, namun disampaikan secara jujur. Watak Chempaka membawa suara sebenar kanak-kanak autisme dan mengajak masyarakat untuk lebih faham dan inklusif.
Tambahnya, buku ini wajar dimiliki bukan sahaja oleh ibu bapa kepada anak-anak autisme, tetapi juga oleh editor dan pengkaji sastera kanak-kanak bagi tujuan perbandingan dan pemahaman yang mendalam.

Menariknya, Nisah juga mendedahkan bahawa anak-anaknya turut membantu dalam menghasilkan karya ini, khususnya tentang minat mereka terhadap anime.
Siaran langsung segmen ini turut diserikan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, yang mengunjungi reruai GAPENA semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung. Baginda turut diiringi Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, YB Dato Sri Dr. Haji Irmohizam Ibrahim.