Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dunia kesusasteraan tanah air dirancakkan dengan kemunculan bakat tiga  penyair termuda tampil dalam program “Indahnya, Warisan Kita” apabila berkongsi pengalaman, proses penulisan kreatif, dan pencapaian dalam bidang kepenyairan mereka.

Program ini merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran yang diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Program “Indahnya, Warisan Kita” ini juga menampilkan tiga penyair yang berkaliber dan berpengalaman iaitu, Muhammad Affan Yunus dari Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Ahmad Asyrafi dan Haziq Nasrullah untuk berkongsi tentang pengalaman, cetusan idea dan pembacaan syair mereka dalam kepakaran masing-masing.

Affan Yunus atau lebih mesra dipanggil Affan, anak jati kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mula berkecimpung dalam bidang kepenyairan pada awal usia 16 tahun sewaktu zaman persekolahan.

Anak didikan Roslan Madun ini juga telah mendapat pengiktirafan sebagai tokoh muda dan memenangi anugerah pertandingan syair pada peringkat negeri dan kebangsaan.

Antara pencapaian dan pengiktirafan beliau dalam pertandingan syair ialah Anugerah Khas Pencapaian Cemerlang (2020), Anugerah Kepimpinan Kebudayaan (2023), Anugerah Tokoh Terbaik Fakulti (2022) dan beberapa anugerah.

Sepanjang bergiat aktif dalam dunia kepenyairan hampir enam tahun, Affan lebih mendalami irama berbentuk perindu dan narasi (Sarawak).

“Irama perindu dan narasi ini mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam menyemai rasa rindu dan syair dalam sesebuah syair. Irama yang menyentuh jiwa dan perasaan ini membuatkan penonton mudah tersentuh dan sebak”, katanya.

Manakala, Haziq Nasrullah, penyair termuda dan berbakat ini telah bergiat aktif dalam bidang kepenyairan sejak di sekolah menengah lagi.

“Pada tahun 2017, saya telah ditawarkan oleh guru saya menyertai pertandingan syair peringkat sekolah. Saya juga pelajari teknik asas syair dan berlatih mendeklamasikan syair pada hujung minggu,”.jelas penyair yang cukup hebat itu.

Dari sudut pencapaian pula, beliau telah mendapat naib johan dalam pertandingan syair peringkat daerah dan telah diikitiraf sebagai 10 penyair terbaik pada peringkat zon.

Beliau yang juga gemar dalam irama berbentuk perindu dan qasidah yang bersifatkan keagamaan dengan gaya taranum untuk menambah keindahan dan kesyaduan dalam sesebuah syair.

“Saya memilih tema ini kerana ianya menonjolkan emosi kerinduan, kelembutan penyampaian, selain nada yang mendayu- dayu,” ujarnya.

Sementara itu, anak didikan Roslan Madun, Ahmad Asyarafi yang berusia 25 tahun mula aktif dalam bidang kepenyairan pada tahun 2021.

Kata Asyrafi, pada tahun yang sama juga beliau telah menyertai beberapa pertandingan nyanyian tradisional dan melibatkan diri dalam pertandingan syair secara terbuka.

Ayrafi, penyair termuda ini juga telah mencatat beberapa pencapaiannya dalam dunia syair, antaranya beliau telah mendapat pengiktirafan 16 penyair terbaik pada peringkat antarabangsa dan beberapa anugerah lagi.

“Pengalaman manis yang tidak dapat saya lupakan dalam bidang kepenyairan, selain mempergiat aktiviti pertandingan syair secara terbuka,”,ujar beliau.

Dalam program tersebut, turut diserikan lagi dengan acara deklamasi seloka, nazam dan gurindam yang dideklamasikan oleh ketiga-tiga penyair muda tersebut.

Ketiga-tiga penyair muda, Affan,Asrafi dan Haziq meneyrikan suasana majlis dengan mendeklamasikan syair,seloka dan gurindam dalam program ‘Indahnya, Warisa Kita” sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi