Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang– Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi gelanggang intelektual apabila sebanyak 40 pasukan dari seluruh negara berhimpun di Auditorium Jurutera Radin Omar pada 25 Mei 2025, bagi menyertai Pertandingan Debat Pelancongan 2025: Piala Pengetua Kolej 12 UPM yang berlangsung selama tiga hari.
Pertandingan berprestij ini menghimpunkan para pendebat daripada universiti awam dan swasta, kolej matrikulasi, serta pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dalam satu wacana ilmiah yang menjulang semangat keilmuan dan kebitaraan berbahasa.
Program ini merupakan inisiatif Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaras dengan usaha memperkasakan seni perbahasan dan penghayatan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dinobatkan sebagai johan selepas menewaskan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di pentas akhir, manakala Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM) masing-masing meraih tempat ketiga dan keempat.
Menerusi hujah mantap dan analisis mendalam, pasukan UPNM berjaya mempertahankan tajuk perbahasan akhir bertema “Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026: Pelancongan Luar Bandar sebagai Tarikan Utama bagi Pelancong Antarabangsa Berbanding Pelancong Bandar”, sekali gus membuktikan keunggulan mereka dalam medan debat kebangsaan ini.
Sebagai johan, UPNM berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, plak penghargaan, sijil penyertaan serta pakej percutian ke Pulau Redang. Naib johan menerima RM1,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM800.
Anugerah individu turut disampaikan kepada Muhammad Idham Hafizie Zainuddin yang dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir, manakala Abdul Azim Azmi menerima gelaran Pendebat Terbaik Liga.
Majlis penutup diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh ternama antaranya termasuklah Pengetua Kolej 12, YBrs. Profesor Madya Dr. Siti Suriawati Isa; Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja DBP, Encik Mohd Azam Juhari serta Pengarah Jawatankuasa Pelaksana, Encik Muhammad Syahmi Sahara.
Pertandingan ini bukan sahaja mencetuskan budaya debat yang sihat dalam kalangan pelajar, malah memperkukuh kemahiran komunikasi dalam bahasa Melayu, menyuburkan pemikiran kritis dan membentuk generasi muda yang celik terhadap isu semasa melalui medium perbahasan intelektual.