Diterbitkan pada 25 Mei 2025, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keistimewaan buku kanak-kanak Enaknya Lemang Periuk Kera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2024 terserlah dengan pemaparan penggunaan kelongsong tumbuhan periuk kera sebagai pengganti buluh untuk memasak lemang.

Penulisnya, Norhayati Khamis berkongsi tentang keistimewaan buku tersebut dalam program Sesi Temu Mesra Bersama-sama Penulis di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, semalam.

Menurut Norhayati Khamis, buku ini merupakan cerita bergambar yang ditujukan kepada kanak-kanak berumur sekitar empat tahun hingga lapan tahun dan menggabungkan unsur budaya tempatan dengan elemen pendidikan.

Bercerita mengenai tumbuhan periuk kera, beliau menyatakan bahawa periuk kera kebiasaannya terdapat di kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highland, Fraser Hill dan di kaki Gunung Tahan.

Ujar beliau,

Saya bersyukur kerana periuk kera ini terdapat di kawasan saya tinggal, Muadzam Shah, Pahang. Periuk kera tumbuh di kawasan hadapan rumah saya dan boleh dipetik pada bila-bila masa. Sejak itu, saya mula berjinak-jinak membuat lemang periuk kera.

Penulis turut menangkis dakwaan bahawa tumbuhan periuk kera merupakan tandas untuk tupai, kerana saiznya tidak mungkin dapat memuatkan pinggul seekor tupai.

Terdapat dakwaan oleh individu dari luar negara menerusi saluran YouTube bahawa periuk kera merupakan tandas untuk tupai. Sehingga kini, saya belum pernah melihat di negara kita terdapatnya tumbuhan sebesar itu sehingga boleh memuatkan pinggul tupai.

Yoyo yang bersifat responsif akan kembali ke tangan saat disentak.

Sementara itu, program tersebut turut menampilkan penulis buku Yoyo Siber, Ahmad Sidqi Danial yang berkongsi tentang buku tersebut yang bertemakan teknologi, persahabatan dan cabaran dunia maya, di samping menampilkan lebih lima jenis koleksi yoyo yang dibawanya.

Menurut beliau, permainan yoyo terbahagi kepada dua, iaitu yoyo responsif yang bermaksud yoyo kembali ke tangan saat disentak dan yoyo tidak responsif, iaitu tidak kembali kecuali dilakukan teknik ikat (bind) yang sesuai untuk trik moden.

Di samping itu, karya sastera remaja ini turut mengandungi unsur pendidikan dan nilai moral yang sesuai untuk bacaan generasi muda kerana mengetengahkan isu terkini, termasuklah isu penggunaan Internet, media sosial dan pengaruhnya terhadap kehidupan remaja.

Yang lebih menarik, anak lelaki Ahmad Sidqi turut melakukan tunjuk cara bermain yoyo dengan pergerakan tangan yang cekap dan lebih fleksibel dalam sesi tersebut.

Menurut beliau,

Pada zaman dahulu, yoyo diperbuat daripada kayu, namun kini terdapat pelbagai ciptaan yoyo seperti mempunyai lampu dan hiasan yang lain.

Program Sesi Temu Mesra Penulis tersebut merupakan program anjuran Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, DBP yang diadakan bagi memperkenalkan penulis di samping mempromosikan buku terbitan DBP.

Kredit Foto: Foto: Adib
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi