Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha dalam memastikan kesinambungan karya sastera Melayu untuk menarik minat generasi muda terhadap sastera tradisional merupakan antara cabaran dalam penghasilan karya untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Melalui program Bicara Karyawan DBP yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, Encik Azimin Daud, Perancang Bahasa merangkap karyawan DBP berkongsi pengalaman beliau semasa bergiat aktif dalam penghasilan karya sastera, khususnya dalam genre pantun dan buku kanak-kanak. Editor majalah Dewan Pelajar dari Bahagian Majalah DBP, Puan Nur Fatin Ainina Noor Azman tampil selaku moderator bagi acara ini.

Selain penghasilan buku dan karya sastera, beliau juga terlibat dalam pelbagai program anjuran DBP, termasuklah menjadi pemudah cara untuk program pantun yang bertujuan untuk memartabatkan pantun sebagai warisan budaya yang membentuk pemikiran masyarakat.
Azimin Daud menyifatkan pelibatan aktifnya dalam pelbagai program dan penghasilan karya yang relevan sebagai usaha beliau dalam memartabatkan sastera Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sebagai rekod, buku kanak-kanak karya beliau berjudul Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau telah memenangi Anugerah Persuratan Selatan 2023 bagi kategori Buku Kanak-kanak Bergambar Terbaik.
Ujar beliau,
Untuk adik-adik yang istimewa, buku Asal Usul Batu Badak Batu Kerbau ini sangat sesuai untuk dibaca kerana ada unsur terapi diterapkan dalam penulisannya.
Karyawan prolifik ini turut berkongsi tentang karya pertama beliau, iaitu “Berbalas Pantun Mendala Sukma” yang telah melalui sebanyak tiga kali cetakan, iaitu pada tahun 2014, 2016 dan 2018.
Turut bersama-sama menyaksikan sesi ini ialah Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Harta Intelek, Puan Murjana @ Norjanah Yusof; Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Noriyani Yusoff.