Diterbitkan pada 15 Mei 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah, telah menganjurkan satu program seni teater dan sastera bersempena dengan Program Motivasi dan Terapi Bahasa dan Sastera melalui Teater yang berlangsung baru-baru ini di Asrama Akhlak Perempuan (P), Lebuh Raya Bukit Kayu Hitam, Jitra.

Program tersebut disertai sebanyak 40 orang peserta terdiri daripada penghuni asrama berusia 13 tahun ke atas yang menunjukkan minat mendalam dalam bidang teater dan sastera.

Menurut Munsyi Dewan (Sastera) merangkap Setiausaha PENTAS, Mohd Zulkamal Ismail, penyertaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun bersama-sama penghuni asrama telah memberikan dimensi baharu kepada program ini.

“Apabila penghuni Asrama Akhlak Perempuan duduk bersama-sama pelajar SMK Changlun dan ahli PENTAS, mereka disuntik semangat motivasi dan terapi melalui pendekatan teater. Ini dapat membantu membentuk personaliti mereka secara positif,” jelas beliau.

Sepanjang program, peserta berpeluang menyertai bengkel serta menyaksikan persembahan teater yang diadaptasi daripada novel agung Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad. Mereka turut diberi latihan monolog, membawa watak-watak utama seperti Jeha dan Lahuma.

Tambah Mohd Zulkamal lagi,

Kaedah berteater seperti ini bukan sahaja membentuk peribadi pelajar, tetapi turut berfungsi sebagai terapi yang mampu membantu mereka membina kerjaya yang baik pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengetua Asrama Akhlak Perempuan Jitra, Encik Mohd Zulhelmee Said, dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa, program seperti ini wajar diteruskan secara berkala bagi mengenal pasti dan menggilap bakat baharu dalam kalangan remaja.

Program diakhiri dengan pementasan fragmen teater Ranjau Sepanjang Jalan oleh ahli-ahli PENTAS, yang mendapat sambutan hangat daripada peserta dan hadirin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi