Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), kembali menyemarakkan pentas seni tanah air menerusi pementasan teater eksperimental bertajuk Kota Cerita, yang bakal dipentaskan pada 22 hingga 24 Mei ini, di Panggung Eksperimen ASWARA.
Teater eksperimental yang mula muncul pada akhir kurun ke-19, terkenal sebagai medium untuk mencabar norma dan mempersoalkan sifat serta cara hidup manusia. Kota Cerita mengekspresikan pendekatan ini melalui adaptasi kontemporari cerita rakyat Puteri Saadong yang disampaikan dalam gaya naratif yang segar dan penuh eksperimen.
Diarahkan oleh Mohd Shahrul Mizad Asari, yang dikenali dengan kemahiran dalam teknik transisi babak dan pendekatan teater yang inovatif, pementasan ini turut menampilkan barisan bakat baharu daripada kalangan pelajar Fakulti Teater ASWARA. Para penonton bakal disajikan dengan persembahan yang memanfaatkan pelbagai disiplin seni antaranya termasuklah gerakan, lakonan, ekspresi serta elemen visual yang berfungsi sebagai medium penyampaian mesej dan emosi.
Menurut pihak produksi, naskhah ini bertujuan untuk mengetengahkan isu-isu semasa masyarakat menerusi penggabungan elemen seni yang pelbagai. Pementasan Kota Cerita membawa tema cinta, kuasa dan kesetiaan yang dizahirkan dalam lapan fragmen berbeza, masing-masing menggunakan pendekatan tersendiri, namun tetap berpaksikan naratif yang sama.
Tiket untuk menyaksikan pementasan ini berharga RM20. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Instagram one2act.prod atau menghubungi talian 011-1248 0491.