Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Projek komuniti anjuran Yayasan Sime Darby Arts Festival kini kembali untuk edisi ke-10 dengan menekankan kepentingan nilai kemasyarakatan dalam kesenian sebagai medium memperkukuh jati diri negara secara imersif bermula dari Februari hingga Ogos 2025.
Bertemakan “Community: Side by Side“, festival pada kali ini membawa kesenian terus kepada masyarakat menerusi jelajah seni ke seluruh negari. Antara negeri yang bakal disinggahi termasuklah Kedah, Selangor, Melaka, Pahang dan Johor.
Selain itu, jelajah seni ini turut dibahagikan kepada dua segmen utama, iaitu “Kampung Tour” dan “Urban Tour”. Kampung Tour akan merentasi tujuh lokasi luar bandar dari April hingga Mei, manakala Urban Tour pula akan berlangsung di tiga lokasi bandar antara Jun hingga Ogos, tahun ini.
Pembahagian ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada komuniti dan pelajar sekolah, terutamanya di luar Lembah Klang, untuk merasai sendiri pengalaman seni dan budaya Malaysia dalam suasana yang inklusif dan merakyat.
Pelbagai acara menarik turut disediakan sepanjang festival ini, antaranya termasuklah persembahan teater, tarian, muzik, bengkel seni serta aktiviti interaktif. Melalui pendekatan eksperimental dalam persembahan, festival ini dijangka membuka perspektif baharu terhadap dunia kesenian tempatan.
Yayasan Sime Darby Arts Festival 2025 dibuka kepada orang ramai secara percuma. Penganjuran festival di bawah Yayasan Sime Darby dan Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), dengan sokongan penuh Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad, dan Sime Darby Property Berhad ini adalah selaras dengan inisiatif Belanjawan 2025.
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi dan tarikh acara, orang ramai digalakkan untuk melayari laman web rasmi atau mengikuti akaun media sosial Yayasan Sime Darby Arts Festival.