Diterbitkan pada 25 Februari 2025, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Antara pelajar sekolah yang menyertai Program Eksplorasi Bahasa Digital.

Kapit – Program Jelajah Malaysia Digital (JMD) yang bermatlamatkan pemerkasaan teknologi digital dalam kalangan masyarakat telah berlangsung dengan jayanya di Kapit Town Square, Sarawak.

Timbalan Menteri Digital, YB Datuk Wilson Ugak Kumbong, menegaskan bahawa pendigitalan kini satu kepentingan dalam kehidupan seharian.

“Pendigitalan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Melalui program JMD, kami membawakan pengetahuan, peralatan dan peluang terus kepada rakyat untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam revolusi digital Malaysia,” katanya ketika berucap di Dataran Kapit.

Program anjuran Kementerian Digital ini memberikan tumpuan kepada golongan B40, pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), serta belia dalam menangani cabaran ekonomi melalui penguasaan kemahiran digital.

Pengunjung tidak ketinggalan mendapatkan karya terbitan bermutu di reruai DBP.

Pelaksanaan program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi, antaranya termasuklah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta jabatan lain di daerah Kapit.

Seiring dengan perkembangan teknologi digital dan kepentingan pendidikan masa kini, DBP melalui Bahagian Buku Sekolah turut memperkenalkan aplikasi Buku Teks Digital Interaktif (BTDI) Cekap Baca.

Pembangunan aplikasi BTDI ini bertujuan untuk membantu pengguna, khususnya murid sekolah, menguasai kemahiran membaca dalam bahasa Melayu menerusi pendekatan interaktif yang menyeronokkan.

Petugas DBP sedang memberikan penerangan tentang aplikasi BTDI Cekap Baca kepada pengunjung.

Selain itu, DBP melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK) dan DBP Cawangan Sarawak turut menganjurkan Eksplorasi Bahasa Digital bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu. Sebanyak 10 pasukan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat Kapit bersaing dalam menyelesaikan tugasan berkaitan kebahasaan dan kesusasteraan Melayu.

Sambutan terhadap aplikasi dan aktiviti  ini dilihat amat menggalakkan, bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi juga golongan dewasa di Kapit.

Dalam usaha menyemarakkan budaya membaca, DBP juga turut mengadakan jualan buku, majalah dan kamus dengan tawaran diskaun sehingga 15% di reruainya. Inisiatif ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen DBP dalam menyebarkan ilmu serta melahirkan masyarakat yang berpengetahuan.

Pelibatan DBP dalam program JMD telah membuktikan usahanya dalam memperkukuh jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memanfaatkan teknologi digital. Langkah ini selaras dengan misinya untuk memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, serta menerapkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi