Diterbitkan pada 22 Januari 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pementasan Nuh: Di Sebalik Bahtera arahan Ahmad Rowin Berahim telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari, bermula dari 17 hingga 19 Januari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama penuh Persatuan Teater Malaysia telah membuka tirai tahun 2025 dengan pementasan teater Nuh: Di Sebalik Bahtera, yang berlangsung dari 17 hingga 19 Januari 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Teater ini mengangkat kisah penuh ibrah yang merentasi zaman, berlandaskan nilai pengorbanan, keimanan dan ketabahan pengikut Nabi Nuh A.S. dalam menghadapi ujian hidup.

Aksi dan lakonan hebat para pelakon pada malam itu berjaya menyentuh hati penonton dengan penggunaan pengcahayaan dan muzik yang dramatik.

Kisah yang disampaikan dengan penuh penghayatan oleh pelakon hebat seperti Yatt-Khairul Hidayat Khairuddin yang membawakan watak Safa, sang burung, serta Tun Alia sebagai pengikut Nabi Nuh yang hidup dalam kemiskinan, namun tidak pernah goyah imannya, berjaya menggugah emosi penonton sepanjang pementasannya berlangsung.

Permainan set pentas yang sederhana, namun penuh kreativiti memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi digital untuk mencipta pelbagai latar kehidupan, dari pasar yang sibuk hingga ke istana yang megah.

Puncaknya, set pentas yang berubah menjadi bahtera berjaya menyentuh hati penonton yang hadir pada malam itu. Penggunaan pencahayaan dan kesan bunyi yang dramatik, susunan Fa’ei Ali selaku pengarah seni menambahkan lagi dimensi emosi dalam pementasan ini.

Pementasan yang dipimpin oleh Ahmad Rowin Berahim, pengasas The Rowin Studio, dilihat sebagai usaha yang berani untuk mengangkat seni teater Islamik kepada khalayak ramai sekali gus membuktikan bahawa teater Islamik bukan sahaja mampu menyentuh hati tetapi juga mudah difahami dan diterima oleh masyarakat umum.

Pelibatan para pelajar dari pelbagai institusi pendidikan, seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Malaya (UM), serta Kolej Komuniti Rembau, Alor Gajah dan Pasir Gudang, bersama-sama kanak-kanak sekolah terpilih dan pelajar homeschool secara tidak langsung menjadikannya sebagai usaha kolaboratif yang menghubungkan generasi muda dengan seni teater.

Sebagai rekod, Rowin sebelum ini telah mementaskan beberapa karya teater Islamik dan fantasi seperti Firuan, Eteria, dan Kebayan yang mendapat sambutan hebat.

Pementasan Nuh: Di Sebalik Bahtera diharapkan dapat menjadi contoh teater yang bukan sahaja mendidik tetapi juga menghiburkan, sejajar dengan kehendak syarak dan nilai-nilai murni yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi