28 Februari 2022, 08:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persembahan deklamasi seni puisi dengan latar muzik gitar berjaya menarik perhatian pengunjung di Pasar Seni, Kuala Lumpur semalam. Dengan slogan “Manusia Berani”, IMAN Publication membawa persembahan puisi simbolik “IMAN Buka Panggung” bersempena dengan Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB 2022).

Persembahan puisi yang dibacakan secara solo oleh penyair IMAN turut sama mengangkat persembahan tarian, seni nyanyian dalam berpuisi dan prop simbolik yang memaparkan komitmen IMAN Publication dalam memulakan kerja penerbitan novel fiksyen dengan lebih komited selepas ini.

Menurut wakil IMAN,  “Acara buka panggung ini adalah simbolik kepada komitmen IMAN untuk lebih fokus dalam menerbitkan novel fiksyen selepas ini. Kelainan yang dibawakan pada hari ini menggambarkan tentang bagaimanakah IMAN melihat dunia fiksyen sebagai sebuah dunia yang berbeza dan baharu buat kami. Namun dalam pada masa yang sama turut mengujakan untuk kita terokai.”

IMAN menegaskan, mereka akan sentiasa mengutamakan nilai-nilai yang baik dan bermanfaat sebagai penanda aras dalam menjadi pengelola kandungan yang memberikan impak kepada masyarakat.

Cerita yang baik mampu menumbuhkan jiwa dan membangkitkan rasa empati. Meraikan emosi dan ekspresi lalu menjadikan dunia ini lebih baik untuk kita semua merupakan kepercayaan IMAN yang cuba diketengahkan dalam setiap novel yang diterbitkan.

Seterusnya, acara buka panggung tersebut diteruskan pula dengan sesi pelancaran buku oleh dua novelis IMAN, Syeraho dan Aishah Madadiy. Syeraho melancarkan buku ketiganya bersama IMAN, iaitu Amukan Manusia Ciptaan. Novel tersebut merupakan naskhah akhir dalam trilogi Projek Athena. “Saya terharu melancarkan buku terakhir bagi trilogi ini kerana saya telah bersama dengan watak tersebut selama empat tahun. Watak dalam Projek Athena sudah seperti rakan saya.” Ujar Syeraho.

Aishah Madadiy pula membawa karyanya Sehingga yang Patah Tumbuh, sebuah novel baharu untuk dilancarkan pada semalam. Sehingga yang Patah Tumbuh merupakan naskhah yang Aishah Madadiy tampilkan setelah tujuh tahun dalam hiatus sebagai penulis.

(Sumber foto dan video: IMAN)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.