28 Januari 2022, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 terpaksa ditangguhkan kerana penggunaan tempat anjuran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Mega, para peminat dan penggiat buku sekali lagi berasa hampa kerana penangguhan PBAKL pada tahun ini.

Namun atas anjuran dan inisiatif beberapa rumah dan syarikat penerbitan, iaitu The Patriots, Buku FIXI dan Jejak Tarbiah, sebuah Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) 2022 akan dianjurkan di Kuala Lumpur pada 24 hingga 27 Februari ini.

Menariknya pada tahun ini, KLAB 2022 akan dianjurkan di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Kawasan yang bertempat di tengah-tengah pusat kesenian dan kebudayan Kuala Lumpur itu akan menjadi tumpuan utama dan tarikan para pengunjung sama ada penduduk Kuala Lumpur mahupun di sekitarnya.

KLAB pernah dianjurkan pertama kalinya pada tahun 2021, dengan skala yang kecil dan sederhana yang bertempat di Sunway Putra Mall. Namun pada tahun ini, penganjur KLAB 2022 memutuskan untuk melaksanakan KLAB dengan skala yang lebih besar, menarik dan bernuansa pesta.

Lebih 50 vendor dan reruai akan memenuhi dan memeriahkan KLAB 2022, iaitu yang terdiri daripada syarikat penerbitan buku indie dan arus perdana seperti Iman Publication, ILHAM Books, MAPIM, PTS Publication, Jejak Tarbiah, Buku Fixi dan lain-lain.

Menurut Amir Syafiq selaku Pengurus Jualan Jejak Tarbiah, sambutan daripada vendor luar dan syarikat buku untuk KLAB 2022 adalah sangat menggalakkan. “Selain daripada buku, vendor jualan kopi juga akan turut serta. Hal ini kerana pembaca buku dan kopi tidak akan dapat dipisahkan,” tambah Amir.

“KLAB ini adalah inisiatif daripada penerbit buku sendiri untuk membantu mendukung industri penerbitan buku selepas pesta buku utama negara terpaksa ditangguhkan. Setelah anjuran KLAB pada tahun 2021, kami memang mencadang untuk menganjurkan ia secara tahunan. Memandangkan PBAKL 2022 ditangguhkan ke tarikh yang agak jauh, kami terus merancang dan menyusun pelan untuk menganjurkan KLAB 2022 secepat mungkin,” jelas Amir.

Antara pihak yang terlibat dalam memulakan inisiatif ini adalah Amir Muhammad daripada Buku Fixi, Aqram daripada The Patriots dan Hafizul Faiz daripada Jejak Tarbiah.

Pihak penganjur KLAB 2022 juga yakin dengan komuniti pembaca yang memang sedang tertunggu-tunggu dengan acara sebegini. Menyaksikan kunjungan yang sangat tinggi dalam Pesta Buku Selangor 2021, dan peningkatan pola dan suara dalam komuniti pembaca sendiri sejak Malaysia dilanda COVID-19, pihak penganjur KLAB 2022 meletakkan harapan tinggi agar mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pengunjung KLAB 2022 pada Februari ini.

Ini adalah pertama kali kami anjurkan KLAB di Pasar Seni, dan dengan skala yang agak besar. Selain itu, dengan peluang untuk mengadakan di tempat bersejarah ini, kami juga berhasrat untuk membantu kedai-kedai di Pasar Seni dan kawasan di sekitarnya yang sangat terjejas setelah pandemik melanda negara.

Dengan adanya aktiviti menarik seperti bicara buku dan sastera, sesi pembacaan puisi oleh Rumah Ripta dan kehadiran vendor, pelancaran buku baharu dan banyak lagi aktiviti menarik lain, pengunjung boleh memenuhi jiwa bibliofil dan cinta akan buku mereka di KLAB 2022.

Namun begitu, pengunjung juga diingatkan untuk menjaga penjarakan fizikal dan peka dengan Garis Panduan Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan apabila mengunjungi KLAB 2022 nanti. Amir Syafiq juga sempat menambah, “Datanglah dan sokong industri buku kita, jika sambutan pada kali ini memuaskan, pasti kami akan laksanakan lagi acara sebegini pada masa akan datang.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.