24 Februari 2022, 21:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sesi perkongsian bersama dengan penulis JIWA di pentas utama.

Kuala Lumpur – Lebih daripada 50 pempamer dalam kalangan kedai buku, syarikat penerbitan indie dan arus perdana, mahupun penerbitan universiti dan penulis tempatan akan berkampung di Pasar Seni, Kuala Lumpur dari 24 hingga 27 Februari ini, bersempena dengan Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2022 (KLAB 2022).

Antara barisan pempamer yang mengisi reruai KLAB 2022 adalah Jejak Tarbiah, Kata-Pilar Books, The Bibilio Press, Gadis Buku, Studi Anai-Anai, Buku IBDE, Kedai Dr. Mazlee, Akademi Jawi, Nusa Centre, Jurnal Svara dan banyak lagi. Acara KLAB 2022 kini sedang memenuhi ruang bangunan Pasar Seni di tingkat satu, dan di bahagian luar di kawasan Jalan Kasturi.

Penganjur juga telah menyenaraikan senarai acara dan sesi menarik yang akan memeriahkan lagi pesta buku itu, antaranya termasuklah bicara buku, pementasan dan persembahan puisi oleh IMAN Publication dan Rumah Ripta, serta sesi pelancaran buku oleh Biblio Press, Kata-Pilar Books, IMAN Publication, Komik Inovasi Pendidikan dan Matahari Books.

Selain itu, KLAB 2022 juga menjemput vendor daripada kedai kopi dan makanan, selain turut menjemput vendor dalam kalangan penggiat seni yang turut menjual hasil seni mereka. Sambutan pada hari pertama turut menyaksikan keterujaan pengunjung yang amat menantikan pesta buku ini.

Pengunjung dan khalayak juga diingatkan agar sentiasa prihatin dalam menjaga penjarakan fizikal dan peka dengan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, selaras dengan matlamat penganjur untuk melaksanakan sebuah pesta buku yang selamat untuk semua lapisan masyarakat.

KLAB 2022 adalah acara pesta buku tahunan yang diadakan buat kali kedua, setelah acara perintisnya yang diadakan pada tahun 2021 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. KLAB dianjurkan sebagai acara alternatif buat peminat buku dan pengamal industri buku sendiri, sementelah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ditangguh pelaksanaannya. Pada tahun ini, KLAB 2022 menaik taraf dan membuat kelainan pada programnya dengan diadakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur, dan skala acara yang lebih besar dan menarik.

 

Tentatif acara di pentas utama sepanjang KLAB 2022 berlangsung.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!