19 Ogos 2021, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Wadiassofi Jaafar merupakan antara penulis dari negeri jelapang padi yang dikenali dalam dunia sastera tanah air, terutamanya dalam genre cerpen, puisi dan rencana sastera. Minat beliau terhadap bidang penulisan amat mendalam apabila beliau berjaya memenangi Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Utusan – Public Bank 1998 kategori cerpen remaja yang diterbitkan buat pertama kalinya dalam majalah URTV pada tahun 1997.

Rancangan Bicara Karyawan – Kumpulan Puisi: Jalan Dugaan.

Sebagai perkongsian perjalanan beliau dalam ranah sastera tanah air, Rancangan Bicara Karyawan pada kali ini menampilkan Wadiassofi Jaafar dalam membicarakan Kumpulan Puisi: Jalan Dugaan yang merupakan naskhah pertama kumpulan puisi beliau bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program bicara yang diadakan pada tengah hari tadi memfokuskan tentang tema yang ingin diangkat dalam kumpulan puisi tersebut. Menurut beliau, tema yang menjadi pilihan dalam penghasilan kumpulan puisi pada kali ini ialah berkisarkan tentang persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang. “Saya berpendapat bahawa tema tersebut amat bertepatan dalam melahirkan generasi pelapis yang berilmu dan berwawasan,” ujar Wadiassofi.

Wadiassofi Jaafar.

Wadiassofi yang juga merupakan mantan wartawan ini turut mengatakan bahawa kumpulan puisi ini dihasilkan dengan menggunakan gaya bahasa yang menarik dan mudah difahami dalam kalangan pembaca, terutamanya golongan remaja. Beliau turut menegaskan bahawa remaja pada masa kini harus mendekati dan mendalami bidang sastera yang boleh dimulakan melalui pembacaan. “Peranan institusi pendidikan dan keluarga amat diperlukan dalam menerapkan minat terhadap bidang sastera dalam kalangan remaja,” jelas beliau.

Antara novel kanak-kanak hasil penulisan Wadiassofi.

Selain menerapkan elemen persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang, kumpulan puisi ini turut memaparkan keindahan Gunung Jerai yang menjadi daya tarikan di negeri Kedah. Menariknya, beliau turut berkongsi bahawa beliau berjaya menyiapkan manuskrip kumpulan puisi tersebut dalam tempoh sebulan sebelum diserahkan kepada DBP untuk proses penerbitan. Beliau juga tidak hanya memfokuskan penghasilan karya untuk remaja semata-mata, namun beliau turut menghasilkan karya untuk pembacaan kanak-kanak seperti Umi, Maafkan Adik dan Misteri di Gunung Keriang.

Siaran penuh program tersebut boleh ditonton di sini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.