17 Jun 2021, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­Oleh: Afif Zulhusni

“Hari ni, abang ada jemputan kenduri, kamu duduk di rumah, ya.” Pak Lebai yang mengenakan baju batik bermotifkan flora berpesan pada isterinya.

Dia mencalit minyak atar bau kasturi hitam di pergelangan tangan, leher dan baju batiknya. Inilah pertama kali Pak Lebai menerima jemputan majlis perkahwinan melalui aplikasi WhatsApp. Pak Lebai mula dikenali ramai menerusi cerita rakyat sehingga Yang Berhormat Bandar Kendara telah menghantar kiriman WhatsApp untuk mengundangnya bagi mengepalai bacaan doa selamat sebelum bermulanya majlis.

Oh, ya! Pastinya kamu semua sudah mengenali siapakah gerangan Pak Lebai yang dimaksudkan ni. Sebelum ini tentu kamu semua berasa kasihan dengan nasib yang menimpa Pak Lebai. Namun, selepas berlakunya peristiwa bagaikan jatuh ditimpa tangga, Pak Lebai mengambil keputusan untuk berpindah di kawasan baharu. Menurutnya, kampung yang didiaminya sebelum ini membawa geruh, bahkan tidak memberikan laba pada dirinya. Maka, Pak Lebai dan isterinya mengambil keputusan berpindah ke sebuah taman perumahan baharu yang terletak di Taman Kendara. Pak Lebai bercadang tidak memilih rumah yang ada tangga. Risau jika geruhnya datang lagi.

Kebetulan surau baharu di Taman Kendara sedang mencari imam tetap. Maka, Pak Lebai dilantik menjadi imam satu di surau tersebut. Pada mulanya, dia menolak pelawaan itu. Namun disebabkan dia orang yang tahu tentang agama, dan bibirnya sentiasa bergerak-gerak bagai membilang tasbih, maka jawatankuasa surau mengundi Pak Lebai tanpa ada sebarang undi rosak. Sejak pelantikan itulah, namanya semakin dikenali banyak orang.

Kehidupan Pak Lebai dan isterinya di Taman Kendara ini berbeza semasa di tempat lama dahulu. Ada sahaja kerja yang hendak dilakukan oleh Pak Lebai. Undangan daripada penduduk taman, termasuklah tugasnya mengetuai bacaan tahlil, majlis khatam al-Quran, majlis akad nikah, majlis berkhatan dan lain-lain lagi. Sudah semestinya setiap pekerjaannya itu akan dihulurkan sekurang-kurangnya dua keping duit merah pada Pak Lebai. Bahkan, ada daripada mereka acap kali ke rumah Pak Lebai untuk memintanya membuatkan air penawar. Kata penduduk Taman Kendara, air liur Pak Lebai masin mengalahkan air garam, malah hajat yang mereka mahukan hanya sekali mimpi sahaja.

“Dewan Besar Bandar Kendara berhampiran dengan pusat bandar.” Pak Lebai merapatkan telefon pintarnya di muka sambil membaca alamat kiriman YB Bandar Kendara menerusi aplikasi WhatsApp. Dia mengambil keputusan untuk menaiki kereta berjenama Rusa. Fikirnya majlis itu berlangsung di pusat bandar. Ketika dalam perjalanan, aroma bubur kacang hijau yang dimasak oleh isterinya membuatkan air liur masin Pak Lebai mula meleleh. Sekiranya kalian ingin tahu, Pak Lebailah yang memaksa isterinya untuk memasak bubur kacang itu. Niat Pak Lebai ingin diperlihatkan oleh YB Bandar Kendara akan kebaikannya sebagai imam yang paling mulia. Oleh sebab Pak Lebai sibuk mencari baju yang sesuai untuk dipakai ke majlis perkahwinan itu, dia belum sempat menjamah bubur kacang hijau itu lagi.

“Lebai, kamu di mana sekarang? Majlis dah nak mula tak lama lagi,” ujar YB Bandar Kendara melalui rakaman suara menggunakan aplikasi WhatsApp. Pak Lebai mengambil keputusan untuk memecut kereta Rusanya tanpa menghiraukan makhluk lain di atas jalan raya. Santak di sebuah selekoh tajam, terdengar seakan-akan bunyi dentuman di bahagian kerusi belakang. Pak Lebai segera memberhentikan kenderaannya di bahu jalan, lalu keluar melihat apa yang bunyi itu tadi. Rupa-rupanya, bubur kacang hijau yang terisi di dalam bekas itu sudah pun terbalik, lantas tertumpah di tempat duduk belakang keretanya. Alangkah sugulnya Pak Lebai ketika itu.

Kebetulan hari itu ialah hari Sabtu, puas Pak Lebai mencari premis mencuci kereta di sekeliling bandar. Tiada satu pun tempat basuh kereta yang dibuka. Pak Lebai yang dari tadi terkumat-kamit dengan zikir, tiba-tiba menyumpah. Tiada pilihan lain, Pak Lebai dengan hampa mengambil keputusan untuk terus menuju ke Dewan Besar Bandar Kendara.

“Ini majlis perkahwinan anak YB Bandar Kendara?” tanya Pak Lebai tanpa segan silu pada penyambut tetamu yang berbaris di hadapan dewan besar itu. Masing-masing dalam kalangan mereka yang tercegat di hadapan pintu mula menunjukkan memek muka kehairanan. Pak Lebai segera mengeluarkan telefon pintarnya lalu membuka aplikasi WhatsApp tersebut.

“Oh, di sini Dewan Besar Bandar Kendara 2! Kenduri yang pak cik maksudkan itu diadakan di Dewan Besar Bandar Kendara, bersebelahan dengan Surau Kendara saja,” kata budak lelaki yang mengenakan songkok hitam dan berbaju Melayu cekak musang. Pak Lebai yang dari tadi bersemangat hendak menjamah nasi minyak, tiba-tiba terkesima dengan penjelasan budak lelaki tersebut.

“Mengapa pak cik tak tekan saja paparan encik Peta ini? Dah tentu pak cik akan tahu lokasinya,” ujar budak lelaki itu, tatkala yang lain hanya menahan ketawa.

Ketika dalam perjalanan menuju ke Dewan Besar Bandar Kendara, Pak Lebai menelefon isterinya kerana mahu menceritakan kejadian malang yang dialaminya sebentar tadi. Ketika asyik meluahkan perasaan, entah dari mana datangnya pula dua buah motosikal berkuasa tinggi mengikut rapat di sisi keretanya. Pak Lebai terpaksa memberhentikan kenderaannya sekali lagi di bahu jalan. Cermin tingkapnya diketuk beberapa kali, lalu pemilik dua buah motosikal itu tadi meminta kad pengenalan dan lesen daripadanya.

“Encik disabitkan kesalahan menggunakan telefon bimbit dan tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu, harap encik jangan ulangi kesalahan yang sama ya,” kata seorang anggota polis trafik yang berkaca mata hitam sambil menghulurkan surat saman. Pak Lebai terkedu dengan kejadian yang berlaku itu. Dia tidak tahu bahawa di atas jalan raya mempunyai undang-undang seberat ini. Yang dia tahu hanyalah hukum halal dan haram sahaja.

“Ni majlis kenduri anak YB Bandar Kendarakan?” tanya Pak Lebai pada mereka yang sedang rancak berbual itu. Tiba-tiba, Pak Lebai berasa bangga ketika melangkah masuk ke dalam dewan itu, Semua orang yang berada di dalam dewan itu memerhatikannya. Pak Lebai berjalan mendabik dada, lalu mengambil tempat duduk orang penting yang menghadap pelamin.

Hampir kesemua orang yang berada di dalam dewan itu seakan-akan membisikkan pada orang sebelah sambil mata mereka memerhatikan Pak Lebai. Pak Lebai yang tersengih seperti kerang busuk segera mengambil nasi yang dihidangkan di atas meja. “Adik, lauk ada lebih tak? Pak cik nak bungkus untuk isteri pak cik,” ujar Pak Lebai pada budak katering yang lalu di belakangnya.

Tiba-tiba, pekerja katering itu menutup hidungnya, lantas termuntah dan terkena pakaian Pak Lebai. Barangkali, pekerja katering tersebut tidak tahan dengan bau minyak atar yang dipakai oleh Pak Lebai. Selang beberapa minit, muntah itu berjangkit kerana aroma minyak atar tersebut telah menyelubungi dewan besar tersebut.

Pak Lebai yang belum sempat menjamah sesuap nasi, turut sama meloya kerana baju dan seluarnya telah dipenuhi dengan muntah pekerja katering tersebut. Segera Pak Lebai pergi ke tandas surau dan membersihkan pakaiannya itu. Pak Lebai terlupa yang dia cuma ada sepasang pakaian itu sahaja. Sekiranya hendak tunggu kering, sudah tentu esok pagi baru kering. Pak Lebai tidak mahu lagi menggadaikan maruahnya sebagaimana yang berlaku kepada peristiwanya di kampung dahulu.

Pak Lebai sanggup menahan kesejukan yang menggigit tulang daripada menahan malu yang akan membaham dirinya sendiri. Nasiblah lebainya tidak terkena muntah itu, barangkali lebainya itu tunak sujud pada Tuhan. Segera Pak Lebai berlari ke arah kereta Rusanya. Pak Lebai terus mengabaikan segala mata-mata yang memerhatikannya. Yang penting, dia hanya mahu pulang ke rumah dengan kadar segera.

Setibanya di rumah, dia terus berlari menuju ke tandas. Air yang masih ada pada pakaiannya menitik membasahi lantai mozek rumah. Isterinya yang ada di dalam bilik terkejut mendengar bunyi pintu yang seakan-akan dihempas. Perkara ini sudah tentu membuatkan isterinya keluar terpinga-pinga kerana ingin melihat apa yang berlaku. Entah bagaimana, isterinya itu tiba-tiba jatuh terlentang di ruang tamu. “Abang … tolong! Saya tak boleh bangun!” jerit isterinya meminta tolong.

Pak Lebai yang baru sahaja siap mandi terperanjat melihat isterinya terbaring di tengah-tengah rumah, lalu segera mendapatkan isterinya. Rupa-rupanya, isterinya jatuh terlentang disebabkan oleh titisan air yang menitik daripada pakaian Pak Lebai yang basah itu tadi. Pak Lebai tergamam sebentar kerana melihat cairan darah sudah melimpahi lantai. Tanpa membuang masa, Pak Lebai memapah isterinya ke kereta, lalu segera menuju ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan lebih lanjut.

“Di mana Engkau Tuhan. Mengapa nasibku seperti ini Tuhan?”

Memang tidak dinafikan lagi, isterinya telah mengalami keguguran. Pak Lebai bertambah sebal apabila mendengar perkhabaran tersebut. Berpuluh-puluh tahun mereka berkahwin, inilah anak mereka yang pertama akan dilahirkan. Lebih memalukan lagi, dia pernah dituduh sebagai lebai mandul oleh penduduk kampungnya yang dahulu. Malangnya, bayi yang diidamkan selama ini meninggal dunia disebabkan kecuaiannya sendiri.

Pulang sahaja dari hospital, hidung Pak Lebai mulai ditusuk oleh bauan masam seakan-akan santan yang telah lama basi.

“Ya Allah, banyaknya semut dan lipas.” Pak Lebai terperanjat melihat dari cermin belakang kesan bubur kacang hijau yang tumpah telah dikerumuni bala tentera semut dan lipas. Setibanya di rumah, Pak Lebai membuka sendiri tempat duduk bahagian belakang berpandukan video dalam telefon pintarnya.

Saat Pak Lebai leka dengan keretanya, terdengar seperti alunan ayat suci al-Quran melalui corong pembesar suara di Surau Kendara. Pak Lebai segera mengambil telefon pintarnya di atas bumbung kereta lalu melihat jam yang terpapar di skrin hadapan. Pak Lebai terkejut setelah menyedari bahawa jam menunjukkan 7.00 malam. Segera dia masuk ke dalam rumah lantas menunaikan kewajipannya.

Tiba di dapur, Pak Lebai terlihat ada nasi goreng di atas meja makan. Baru sahaja ingin mengalas perut, nasi itu juga dikerumuni oleh segerombolan semut yang entah dari mana datang. Barangkali mereka sempat melarikan diri dari kusyen itu sebelum dibasuh. Alangkah sendunya hati Pak Lebai. Bertubi-tubi peristiwa malang yang menimpa dirinya.

Dalam sendu itu, Pak Lebai mengambil keputusan untuk pergi menunaikan solat maghrib di Surau Taman Kendara. Pak Lebai menangis teresak-esak sambil memohon pertolongan daripada Allah SWT kerana tidak tertahan dengan ujian yang menimpa dirinya. Usai menyalami jemaah, seorang lelaki berbaju batik menepuk bahunya dari belakang. Rupa-rupanya, YB Bandar Kendara yang menyapanya.

Sampai sahaja di restoran, YB Bandar Kendara menyuruh Pak Lebai meminta apa saja makanan yang dia inginkan. Alangkah syukurnya Pak Lebai atas nikmat yang diberikan oleh-Nya. Barangkali berkat jemaah Taman Kendara yang mengaminkan doanya sebentar tadi.

YB Bandar Kendara sempat menghulurkan beberapa kepingan wang berwarna ungu pada Pak Lebai sebelum beliau berangkat pulang. Pada mulanya, Pak Lebai sememangnya menolak pemberian tersebut. Tetapi setelah mendengar bisikan daripada YB Bandar Kendara,  Pak Lebai terus memeluk beliau bersulamkan rintihan keinsafan.

“Gunalah wang ini sebaik mungkin. Dan ingatlah, setiap musibah yang hadir pada diri hamba-Nya, pasti

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.