28 Mei 2021, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umat Islam di seluruh dunia dikejutkan dengan serangan rejim Zionis Israel ke atas Palestin, ketika puluhan ribu jemaah Muslim sedang solat berjemaah di Masjid al-Aqsa pada malam-malam akhir mencari Lailatul Qadar. Sasarannya ialah Masjid al-Aqsa, yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan salah satu tempat suci dalam agama Islam. Serangan mengejut itu telah mengoyakkan hati umat Islam kerana konflik yang panjang antara Palestin dengan Israel tercetus semula pada akhir Ramadan 1442H.

Buku biografi Syeikh Ahmad Yassin.

Serangan itu bukan sahaja membangkitkan kemarahan umat Islam, malah segala kisah, rujukan dan maklumat berkaitan Palestin diselongkar satu per satu. Semuanya berniat mahu menyegarkan ingatan berkaitan dengan konflik Palestin-Israel yang masih tidak menampakkan titik penamat hingga hari ini. Satu daripada ribuan kisah yang tertayang semula ialah riyawat sang pemimpin dan si pemberani kelahiran Palestin, iaitu Syeikh Ahmad Yassin. Buku terbitan PTS Publishing House tahun 2015 tulisan  Al-Ghazali menjadi antara karya yang ditelaah semula. Sebuah novel sejarah yang menaratifkan biografi Syeikh Ahmad Yassin, yang dilengkapi dengan pesanan dan surat terakhir beliau, selain maklumat sahih berkaitan dengan HAMAS, iaitu pertubuhan pembebasan Palestin yang berpaksikan Islam dan menjadikan jihad sebagai ideologi.

Sejak kecil, Syeikh Ahmad Yassin yang dipanggil Ahmad oleh ibunya, Sa’ada, telah merasai kekejaman rejim Zionis Israel. Dalam kedinginan subuh yang mencengkam hingga tulang-temulang, ibunya telah membawa Ahmad dan adik-beradiknya keluar dari rumah, meninggalkan kampung halaman dan menuju ke kem pelarian Al-Shati di Gaza. Semuanya disebabkan kegilaan rejim Zionis yang menceroboh semua kediaman di Jura, sebuah kampung kecil dalam daerah Asqalan. Hidup dalam buangan di tanah air sendiri sesuatu yang cukup meyakitkan bagi Ahmad. Namun, kesakitan itu menjadi didikan paling bermakna ketika dia mendewasa sebagai seorang lelaki yang berani untuk bangkit menentang kezaliman tentera Zionis.

Di kem pelarian, Ahmad berkawan dengan Abdullah Khatib, rakan sekelasnya. Semasa bermain gusti dengan Abdullah Khatib, kedengaran bunyi “skrappp” apabila Abdullah Khatib mengunci dan memulas tubuh Ahmad. Akibatnya, Ahmad terbaring di pasir dalam keadaan kaku. Tengkuk Ahmad benar-benar rasa sakit. Tulang belikatnya mula jadi kebas. Kedua-dua belah kakinya tiba-tiba jadi seperti tidak boleh digerakkan. Melihat keadaan Ahmad sebegitu, Abdullah Khatib mendukung Ahmad pulang ke kem. Malangnya, gurauan bergusti itu menjadi permulaan titik hitam dalam hidup Ahmad.

Sakit yang dialami oleh Ahmad tampak serius dan tidak menunjukkan tanda akan baik. Badannya sakit apabila digerakkan. Setelah membuat pemeriksaan di Hospital Gaza, doktor memberitahu bahawa Ahmad mengalami kecederaan pada tulang belakang. Kecederaannya serius kerana melibatkan kerosakan pada saraf tunjang. Ahmad berisiko untuk lumpuh, dan besar kemungkinan mengalami kelumpuhan kekal. Pada usia 12 tahun, Ahmad terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Walaupun bakal tergolong sebagai orang kurang upaya, Ahmad nampak tenang. “Tidak apalah, ibu. Tubuh badan ini hanya pinjaman sahaja. Tuhan berhak ambil semula kaki saya bila-bila masa yang Dia mahu,” kata Ahmad. Ternyata, menjadi orang kurang upaya pada usia muda membentuk jiwa Ahmad menjadi seorang pemuda cekal yang memiliki semangat luar biasa.

Walaupun membesar tanpa belaan dan kasih sayang ayah yang telah meninggal dunia semasa berumur lima tahun, Ahmad berjaya menamatkan persekolahan dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Kecemerlangan itu juga membolehkan Ahmad diterima untuk melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Kaherah. Namun begitu, pengajiannya tertangguh disebabkan keadaan kesihatannya yang makin merosot. Ahmad terpaksa kembali ke Gaza. Kendatipun begitu, Universiti al-Azhar telah meninggalkan kesan signifikan dalam diri Ahmad kerana pengajiannya di situ telah menemukan Ahmad dengan sebuah pertubuhan yang membuka matanya mengenali dunia politik dan kegiatan aktivisme serantau. Ahmad “jatuh cinta” dengan Ikhwanul Muslimin di kota Kaherah!

Di Gaza, Ahmad merindui Universiti al-Azhar dan hatinya kekal bertaut pada Ikhwanul Muslimin. Untuk meleraikan rindu itu, Ahmad membaca buku berkaitan dengan  perjuangan Ikhwanul Muslimin. Berbekalkan kemahirannya dalam bahasa Arab, Ahmad telah menghadiri temuduga untuk mengisi jawatan guru Bahasa Arab. Apabila berjaya dalam temuduga itu, ada pula suara sinis daripada guru lain yang tidak menyakini keadaan fizikalnya dan mempertikaikan kemampuannya melayani kerenah murid. Guru Besar yang melantik Ahmad, Mohamad Al-Shahwa terpaksa menurut permintaan guru tersebut dan memberikan masa enam bulan untuk Ahmad membuktikan kemampuannya mengajar. Ternyata, belum sampai enam bulan, ibu bapa pelajar berpuas hati dengan pencapaian Bahasa Arab anak mereka. Pelajar juga memuji Ahmad sebagai guru Bahasa Arab. Rupa-rupanya, bukan sekadar mengajar di kelas, Ahmad membawa anak muridnya ke masjid berdekatan selepas waktu sekolah untuk mengajar ilmu agama, selain bersolat jemaah. Terbukti pada waktu itu, Ahmad menjadi murabbi yang memimpin anak muridnya mengenali Tuhan mereka.

Beberapa tahun selepas berkahwin dengan Halima, kawannya menaikkan semangat Ahmad untuk meneruskan pengajian. Juga, mengumpan minatnya terhadap Ikhwanul Muslimin dengan mencadangkan Ahmad belajar di Universiti Ain Syams. Di situ, Ahmad berpeluang bergaul dengan ahli Ikhwanul Muslimin dan boleh berwacana dengan tokoh pertubuhan itu. Permohonannya melanjutkan pengajian diterima oleh pihak Universiti Ains Syams di Kaherah pada tahun 1964. Bermula saat itu, Ahmad tidak melepaskan peluang mahu mendengar sendiri gagasan perjuangan Hasan al-Banna dari mulut pengikutnya sendiri. Pada kali ini di Kaherah, Ahmad bergaul rapat dengan kepimpinan Ikhwanul Muslimin. Ahmad mula mengenali individu di sebalik pemikiran besar yang didengarnya selama ini. Malangnya, tanpa diduga pada tahun 1966, pihak berkuasa Mesir memecah masuk ke rumah Ahmad lalu menahannya atas sebab yang tidak jelas. Selepas bersoal jawab, maka disebut, “Ahmad Yassin, kamu ditahan atas kesalahan terlibat dalam gerakan subversif”. Kerusi rodanya ditolak keluar dari rumah sewanya. Ahmad dikasari sehingga menyebabkan dia memprotes marah. “Ancaman apa yang dibawa oleh seorang lelaki kurang upaya seperti saya?” Selepas itu maka tahulah Ahmad selepas mendengar kata-kata, “Kamu disyaki atas kesalahan bersekongkol dengan pertubuhan haram Ikhwanul Muslimin.” Ahmad dipenjarakan tanpa melalui pembicaraan yang adil. Genap sebulan dipenjarakan, Ahmad dihantar pulang ke Gaza tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Di Gaza, Ahmad kembali bertugas sebagai guru Bahasa Arab.

Bergaul dengan orang alim menjadikan fikiran Ahmad lebih tajam kerana ilmu agamanya lebih mendalam. Ahmad diberi kepercayaan menyampaikan khutbah solat Jumaat. Kehandalannya berhujah meletakkan Ahmad sebagai antara pemidato terbaik di Gaza pada waktu itu. Hari demi hari, nama Ahmad meniti di bibir setiap pemuda dan pemudi di Gaza. Reputasinya semakin mengharum. Ahmad berusaha menghidupkan Ikhwanul Muslimin cawangan Gaza. Dengan pengaruhnya sebagai khatib, Ahmad menggerakkan rakyat Palestin supaya bangkit melawan musuh semasa tercetusnya Perang Arab-Israel pada 5 Jun 1967 hingga 10 Jun 1967. Bagi membantu golongan pelarian kesan Perang Enam Hari itu, Ahmad menubuhkan Mujamma Al-Islam atau Akademi Islam pada tahun 1973 bagi membela nasib mereka. Melalui Mujamma Al-Islam, Ahmad menyalurkan visinya bagi mempersiapkan, mendidik, dan membina generasi muda Palestin untuk melawan penjajahan Zionis Israel. Pengaruh yang dimainkan oleh Mujamma Al-Islam di Gaza begitu kuat sehingga mereka mampu mengawal Universiti Islam Gaza. Ketokohan Ahmad memimpin Mujamma Al-Islam melayakkannya untuk menyandang jawatan sebagai Pengarah Pusat Islam di Gaza. Mujamma Al-Islam diiktiraf oleh Tel Aviv sebagai sebuah organisasi kebajikan pada tahun 1979. Pada tahun 1982, Ahmad menggunakan pengaruhnya sebagai Ketua Biro Politik Ikhwanul Muslimin bagi menubuhkan Al-Mujahidun Al-Falastiniyyun. Organisasi ini berfungsi sebagai satu gerakan bersenjata bagi melawan gelombang penjajahan rejim Zionis Israel.

Tahun 1984 menjadi tahun yang buruk buat keluarga Syeikh Ahmad Ismail. Rumah kecil berbilik tiga di kawasan kejiranan Zeitoun yang didiami oleh Syeikh Ahmad Yassin dan keluarganya diserbu anggota Israel Defence Force (IDF). Alasannya, Syeikh Ahmad Yassin menyimpan senjata api terlarang. Dengan paksaan dan kekerasan, kepala Syeikh Ahmad Yassin diserkup dengan kain hitam dan kerusi rodanya disorong keluar dari rumah. Syeikh Ahmad Yassin cuba melepaskan diri, namun apa dayanya yang cuma seorang lelaki yang lumpuh. Beliau disumbat ke dalam penjara, dihadapkan ke Mahkamah Tentera Israel dan disabitkan dua kesalahan serius, iaitu memiliki senjata api dan cubaan merancang serangan kumpulan bersenjata ke atas pihak Israel. Atas pertuduhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin dikenakan hukuman penjara selama 13 tahun! Namun begitu, jeriji besi bukanlah tempat asing baginya, dia sudah laluinya dahulu dan dia selamat. Jadi, tidak ada sebab untuknya berasa takut. Israel boleh memenjarakan jasadnya, tetapi sampai bila-bila pun Israel tidak akan berjaya mengekang semangatnya. Perjanjian Jibril telah menjadi lorong bagi Syeikh Ahmad Yassin untuk bebas daripada hukuman penjara 13 tahun. Namanya termasuk dalam senarai 1150 orang tahanan yang dibebaskan melalui rundingan penukaran tahanan yang melibatkan kerajaan Israel pimpinan Shimon Perez dan Popular Front for the Liberation Palestine-General Command.

Sebut sahaja intifadah, nama Palestin pasti terbayang dalam ingatan. Sinonimnya intifadah dengan Palestin kerana kebangkitan rakyat Palestin lebih dikenali sebagai Gerakan Intifadah, iaitu gerakan massa yang membantah dan menentang penjajahan rejim Zionis. Yang pentingnya, Gerakan Intifadah itu digerakkan oleh golongan belia, dan turut disertai oleh kanak-kanak di Palestin. Dengan hanya berpelurukan batu-batu kerikil di jalanan, pemuda dan pemudi Palestin bersatu hati bangkit untuk berhadapan dengan tentera rejim Zionis. Oleh sebab itulah, proses intifadah ini dikenali sebagai Atfal Masajid atau Kanak-kanak Masjid dan Atfal Al-Hajarah atau Kanak-kanak Kerikil. Gerakan Intifadah ini menjadi saksi lahirnya sebuah pertubuhan yang menjadi pembela nasib rakyat Palestin bagi menyatukan mereka untuk menegakkan sebuah negara yang merdeka.

Detik penting dalam perjuangan Syeikh Ahmad Yassin berlaku pada Disember 1987 apabila tertubuhnya Harakat al-Muqawwamah al-Islamiyyah atau akronimnya, HAMAS. Syeikh Ahmad Yassin dilantik senagai Mursyidul Am pertama HAMAS dan Syeikh Salah Syahadah dilantik sebagai ketua sayap ketenteraan. Penubuhan HAMAS diuar-uarkan kepada penduduk Gaza pada 11 dan 12 Disember. Rakyat Palestin melihat HAMAS sebagai pertubuhan yang menggabungkan ideologi Ikhwanul Muslimin cetusan Hasan al-Banna yang sederhana dan Sayyid Qutb yang revolusioner. Maka itu, intifadah pada tahun 1987 menjadi tanda bermulanya siri jihad besar-besaran Ikhwanul Muslimin di bawah sayap ketenteraan HAMAS.

Akibat “kedegilan” Syeikh Ahmad Yassin, rumahnya sekali lagi diceroboh oleh anggota IDF. Kata Syeikh Ahmad Yassin apabila dilemparkan tuduhan sebagai penjenayah dan dalang yang merancang operasi pembunuhan tentera Zionis, “Kalau betul pun kenapa? Itu semua langsung tidak setanding dengan apa yang dilakukan oleh rejim Zionis kepada kami. Salahkah kami mempertahankan tanah air sendiri? Setidak-tidaknya kami bertindak terhadap anggota tentera, bukannya tergamak membunuh kanak-kanak atau wanita.” Kali ini, Syeikh Ahmad Yassin dipenjarakan seumur hidup bermula pada tarikh  18 Mei 1989. Semasa di dalam penjara, keadaan kesihatannya menjadi amat teruk. Pihak HAMAS tidak berdiam diri tetapi merancang sesuatu. Pada 13 September 1992, melalui Briged Al-Qassam, seorang tentera Zionis diculik dan dijadikan tebusan. Briged Al-Qassam berunding dengan pihak rejim Israel untuk menukar tebusan itu dengan Syeikh Ahmad Yassin. Namun begitu, usaha itu gagal dan menyebabkan berlaku insiden tembak-menembak di Bir Nala berdekatan kota Jerusalem.

HAMAS tidak wujud atas dasar kebencian. HAMAS tidak membenci Yahudi, tetapi HAMAS wujud atas rasa tanggungjawab membela nasib golongan tertindas seperti Khalid. HAMAS tidak pernah memerangi bangsa, HAMAS memerangi sebuah rejim yang menindas.

Pengisahan biografi Syeikh Ahmad Yassin juga mendedahkan pembaca tentang Briged Al-Qasam melalui perbualan Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi dengan Khalid, budak lelaki berumur 11 tahun yang mahu bertemu dengan Syeikh Ahmad Yassin dan menjadi anggota Briged Al-Qasam. Dr. Abdul Aziz bertanyakan Khalid, “Kenapa kamu mahu jadi anggota Briged Al-Qassam? Kamukan masih muda, sedangkan anggota Briged Al-Qassam terdiri daripada orang dewasa.” Jawab Khalid, “Saya mahu mereka rasa macam mana sakitnya ketika abang saya mati ditembak peluru senapang mereka.” Jelas Dr. Abdul Aziz kepada Khalid, “Untuk menjadi anggota Briged Al-Qassam, kamu perlu menghafaz seluruh isi al-Quran, perlu hafal dan faham hadis, dan yang paling penting, kamu tidak boleh meninggalkan solat berjemaah di masjid.” Maka itulah syarat-syarat utama untuk menjadi anggota Briged Al-Qassam. Setelah mendengar penjelasan itu, Khalid berlari pulang ke rumahnya. Semasa melihat Khalid berlari pulang, Dr. Abdul Aziz bermonolog, ‘HAMAS tidak wujud atas dasar kebencian. HAMAS tidak membenci Yahudi, tetapi HAMAS wujud atas rasa tanggungjawab membela nasib golongan tertindas seperti Khalid. HAMAS tidak pernah memerangi bangsa, HAMAS memerangi sebuah rejim yang menindas.’

Usaha untuk membebaskan Syeikh Ahmad Yassin tetap diteruskan apabila Jordan menahan dua ejen Mossad dan mahukan pertukaran tahanan sebagai syarat pembebasan ejen Mossad. Tahanan yang dimahukan ialah Syeikh Ahmad Yassin, 9 tahanan Jordan dan 91 tahanan Palestin. Misi kali ini berjaya. Menjelang 30 September 1997, Syeikh Ahmad Yassin diterbangkan ke Amman dengan menaiki pesawat peribadi milik Jordan untuk dibawa ke Al-Hussein Medical City. Setelah keadaannya sihat, Syeikh Ahmad Yassin dihantar pulang ke Gaza dan ketibaannya disambut oleh puluhan ribu penyokong yang membawa potret beliau sambil melaungkan slogan kebangkitan sebagai simbolik pada kebebasan yang  baru dikecapi oleh pengasas HAMAS itu.

Dalam temu bual dengan Al-Jazeera, Syeikh Ahmad Yassin ditanya mengapa HAMAS dituduh sebagai pengganas? Jawab Syeikh Ahmad Yassin, “Pengganas ialah sesiapa sahaja yang zalim, memperjuangkan kebatilan, mengganggu manusia lain, dan tiada perasaan belas kasihan sesama manusia. Kami jauh daripada sifat itu, kami sebuah gerakan jihad yang mengambil etika kesederhanaan. Ini selaras dengan ayat Allah SWT dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud, ‘Dan begitulah Kami jadikan kamu sebagai umat yang sederhana.’ Memang tidak ada istilah keganasan dalam kamus perjuangan kami, dan kami tidak pula mengganggu orang lain. Apa yang kami lakukan selama ini hanya mempertahankan hak kami, dan berjuang mendapatkan semula tanah kami.”

Intifadah bergelombang lagi di Palestin, kali ini dikenali sebagai Intifadah al-Aqsa. Intifadah kedua ini menunjukkan gerakan kebangkitan sosial rakyat Palestin bagi melindungi kesucian Masjid al-Aqsa. Tercetusnya intifadah ini kerana rakyat Palestin begitu marah apabila Presiden Parti Likud, Ariel Sharon masuk ke ruang masjid dengan memakai kasut. Pada 29 Jun 2003, perjanjian hudna atau gencatan senjata sementara diumumkan oleh Palestinian Authority (PA) antara HAMAS dengan kumpulan pembebasan rakyat Palestin. Namun begitu, perjanjian hudna terbatal akibat serangan IDF ke atas orang awam sehingga menyebabkan dua orang awam terbunuh. Pada 12 Ogos 2003, HAMAS melancarkan serangan berani mati dan seorang warga Israel terkorban. Rentetan konflik itu, pihak berkuasa Israel melancarkan serangan udara menggunakan pesawat F-16 Fighting Falcon milik Israel Air Force (IAF), yang sebenarnya mahu menyasarkan Syeikh Ahmad Yassin. Tidak cukup dengan itu, Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon melabel HAMAS sebagai “paksi kejahatan Palestin” dan “pembunuh bersiri” ekoran serangan nekad HAMAS ke atas wilayah Israel.

Mungkin mengetahui hari itu merupakan saat-saat akhir kehidupannya, Syeikh Ahmad Yassin meminta dibawa ke Masjid Mujamma Al-Islam yang terletak di kawasan kediaman Al-Sabra. Selain ditemani anaknya, Abdul Hamid, Abdul Ghani dan Khamis, Syeikh Ahmad Yassin diiringi beberapa pengawal peribadi yang dihantar oleh HAMAS. Tiba di masjid untuk beriktikaf, Syeikh Ahmad Yassin menyuarakan niat mahu berpuasa keesokan harinya dan hanya mengalas perut dengan segelas air putih. Keadaan Syeikh Ahmad Yassin ketika itu buta sebelah mata dan keseluruhan tubuhnya hampir lumpuh. Usai solat Subuh berjemaah pada pagi 22 Mac 2004, Syeikh Ahmad Yassin yang dalam perjalanan menuju ke kereta, terbunuh apabila misil Hellfire yang meluncur dari heliopter AH-64 Apache tepat mengenai dirinya.

Serangan kejam yang berlaku di kawasan Masjid Mujamma Al-Islam telah menyebabkan kematian Syeikh Ahmad Yassin yang berusia 66 tahun pada waktu itu. Misil itu turut mengorbankan tujuh nyawa yang mengiringi pemimpin itu, termasuk beberapa nyawa orang awam. Yang jeliknya, Ariel Sharon mengaku bertanggungjawab merancang dan melaksanakan serangan bunuh ke atas pemimpin HAMAS, Syeikh Ahmad Yassin. Walaupun kematiannya sangat tragis, Syeikh Ahmad Yassin tetap diingat sebagai al-syahid yang hatinya tegar, jiwanya besar dalam perjuangan membebaskan Palestin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.