Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Program Riang Bahasa: Seni Bercerita menjadi platform untuk memperkasakan guru-guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melalui seni bercerita. Program yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 Peringkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur berlangsung di DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Melalui program ini, kaedah seni bercerita yang kreatif serta berkesan untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak didedahkan kepada para peserta, khususnya golongan pendidik.

Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail, dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa program tersebut dapat menggalakkan kreativiti dan meningkatkan keyakinan diri melalui seni penyampaian cerita.

Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Program itu dibimbing oleh Mohd Fairul Rashid atau lebih dikenali sebagai Fairul Pujangga yang merupakan penulis skrip drama, penyair dan penggiat teater.

Sepanjang sesi berlangsung, beliau membimbing para peserta melalui pelbagai aktiviti, termasuk latihan sebutan artikulasi pengulangan bunyi konsonan bagi meningkatkan kemahiran penyampaian cerita.

Mohd Fairul Rashid (Fairul Pujangga) ketika membimbing para peserta program.

Pendedahan tersebut diharapkan agar dapat membantu guru-guru Tabika KEMAS mempelbagaikan kaedah pengajaran serta menjadikan pembelajaran lebih menarik dan interaktif.

Yang turut hadir dalam sesi tersebut ialah Penyelia Operasi (Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak), Yang Mulia Puan Sharifah Baiduri Ayu Syed Mansoor; dan guru-guru Tabika KEMAS dari seluruh negeri Kelantan.

Kredit Foto: Mohamad Hazlin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi