Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Malaysia (SDPKSM) Peringkat Negeri Sabah yang julung-julung kali diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) pada 12 Julai 2025 lalu telah mengangkat Putri Kalesha Qistina yang mempertaruhkan puisi “Potret Silam di Muzium Bangsa” karya Sani La Bise sebagai juara.
Beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM300.00, sijil dan buku iringan serta akan mewakili negeri Sabah ke peringkat kebangsaan di Melaka yang dijadualkan pada 14 Ogos 2025.
Seterusnya, penerima naib johan ialah Muhammad Said Sulaiman dengan puisi “Pelataran Jagat”. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM200.00, sijil dan buku iringan.
Muhammad Farhan Masdeh yang membawakan puisi “Peneguh Bumi Berdaulat” karya Abdul Karim Gullam mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100.00, sijil dan buku iringan.
Dua penerima hadiah sagu hati, iaitu Nur Fazrisha Fazwana dan Nurul Sumayyah Abdullah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM50.00, sijil dan buku iringan.
SDPKSM Sabah tahun ini menampilkan 10 orang peserta akhir.
Sayembara ini merupakan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama DBPCS dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengarah II DBPCS, YBrs. Encik Zaidi Ismail.