Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSandakan – Siri terakhir program Aroma Meja Bulat tahun 2024 telah memilih dua buah buku, iaitu Kumpulan Sajak Kata-kata Sebelum Makna dan Menggenggam Harapan untuk dikupaskan di Politeknik Sandakan Sabah (PSS).
Puan Junaidah Parudin atau nama penanya Azridah PS Abadi memulakan program dengan memperkatakan karyanya, iaitu Menggenggam Harapan.
Beliau berkongsi antara cabaran yang dihadapi untuk menghasilkan buku ini adalah kekangan masa.
Namun, beliau tetap mencuri masa yang terluang untuk memastikan karya ini terbit di pasaran.
Hal ini kerana beliau yang bertugas sebagai guru dihambat dengan tugasan yang menggunung.
Seterusnya, Anisul-Jalis pula berkongsi satu sajak daripada 70 buah sajak yang paling memberi kesan kepadanya, iaitu puisi bertajuk “Lelaki Silam”.
Beliau menyatakan karya tersebut amat dekat dengan hidupnya dan memberi kesan yang berterusan sehingga dapat melahirkan naskhah Kumpulan sajak Kata-kata Sebelum Makna, ini.

Sasterawan Negeri Sabah, Datuk Jasni Matlani selaku penilai buku-buku yang dibicarakan menjelaskan bahawa kedua-dua buku mempunyai keistimewaan masing-masing.
Dalam bicaranya, beliau menyatakan kedua-dua penulis berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Sebagai contoh Menggenggam Harapan mempunyai nilai-nilai pengurusan yang baik, iaitu integriti dan amanah, manakala buku Kata-kata Sebelum Makna dijelaskan sebagai bentuk puisi daripada jenis puisi prosa.
Sebelum itu, Aroma Meja Bulat merupakan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) dengan kerjasama PSS.
Siri terakhir ini juga dilaksanakan sempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 dan merupakan program yang disekalikan dengan program Pembudayaan dan Pemasyarakatan Kamus Dewan Perdana.
Seramai 70 orang peserta telah menghadiri program ini yang melibatkan penjawat awam dari Kementerian Setiausaha Negeri (KSN), wakil Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan, pelajar-pelajar dan pensyarah PSS, para pelajar dan guru pengiring daripada Sekolah Menengah (SMK) Batu Sapi, SMK Elopura, SMK Elopura II, SMK Gum Gum, SMK Perempuan Sandakan, SMK Merpati dan SMK Sandakan II.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dr. Rusmadi Baharudin; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSS, Encik Mohd. Saiful Maidin dan Puan Julianah Kuli, Timbalan Pengarah II DBPCS.

Program secara santai ini turut diserikan dengan iringan muzik daripada Kumpulan Sedaya Band yang diketuai oleh Puan Shuheda Yacob.