26 April 2022, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ─ Menggabungkan empat karya mantap hasil tulisan anak tempatan, Unit Drama TV Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memeriahkan lagi industri seni tanah air dengan telefilem terbaharu, iaitu Jabat Erat-erat.

Hadir bersama-sama tema yang tidak luput ditelan zaman, telefilem ini berkisar tentang kisah masyarakat berbilang kaum di satu kampung dalam mendepani masalah dalam kehidupan mereka yang melibatkan keluarga dan masyarakat setempat.

Selain menampilkan pelakon hebat seperti Noorkhiriah, Zaidi Omar, Azman Hassan dan Fatimah Abu Bakar, pengarah berpengalaman, Wan Afzam Wan Daud dalam hasil kerjanya kali ini juga mengangkat pelakon muda seperti Muhammad Aidil Rafiq yang memegang watak utama Kalam dan Sahrin Nursyawalia Izlyn sebagai Senah.

Ketika ditemu bual dalam “Rancangan Canai Bahasa dan Sastera: Corat-Coret Pelakon Muda Jabat Erat-erat yang diadakan semalam, kedua-dua pelakon muda ini sempat akui bahawa kerja lakonan mereka dalam Jabat Erat-erat memberikan pengalaman berharga sebagai pelakon baharu yang pertama kali memegang watak utama.

“Saya takut jika terdapat banyak kekurangan dan tidak dapat menjiwai watak dengan baik. Tetapi saya banyak minta tunjuk ajar terus daripada pengarah dalam usaha untuk hidupkan watak Kalam dan belajar melalui filem lain yang saya tonton,” ujar Aidil.

Beliau turut berkongsi babak paling sukar dan senang untuk dilakonkan keduanya memerlukan beliau untuk menangis. “Paling susah semasa babak Kalam menangis di kubur ibu dan ayahnya. Pelbagai situasi sedih saya fikirkan untuk dapat hayati watak Kalam pada waktu itu. Babak paling senang juga perlukan saya untuk menangis, tetapi kali ini lebih mudah sebab dibantu oleh hujan,” katanya sambil ketawa.

Cara yang sama juga digunakan oleh Sahrin Nursyawalia Izlyn atau lebih dikenali sebagai Cahya. Pelakon muda itu akui bahawa beliau banyak menimba ilmu secara terus dengan pengarah, Wan Afzam mengenai watak dan karakter Senah yang diinginkan oleh pengarah tersebut.

“Ini adalah pengalaman ketiga saya berlakon dan Senah adalah watak paling berat pernah saya bawa. Saya lebih banyak memerhati pelakon berpengalaman yang lain dan kemudian akan bertanya dengan lebih lanjut. Bagi saya, babak yang paling susah untuk dilakonkan adalah ketika Senah mati.” Cahya mengulas dengan lebih lanjut dan turut berkongsi bahawa beliau begitu kagum dengan lakonan Azman Hassan yang benar-benar menjadi dan berjaya hidupkan watak yang dibawanya.

Berkongsi harapan pada akhir rancangan tersebut, Cahya berkata beliau tidak menolak jika ditawarkan apa-apa watak. Namun bagi Aidil, buat masa sekarang, beliau lebih mahukan karakter remaja yang nakal, bersesuaian dengan dirinya yang belum menginjak usia 20 tahun lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.