21 Mac 2022, 08:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi berganding bahu dalam usaha memartabatkan karya Melayu apabila terhasilnya telefilem Jabat Erat-erat. Jabat Erat-erat merupakan satu-satunya telefilem yang terhasil daripada adaptasi tiga cerpen dan sebuah novel terbitan DBP. Karya yang menjadi pilihan ialah novel kanak-kanak bertajuk Sinappapal nukilan Azizi Haji Abdullah, manakala tiga cerpen tersebut ialah “Sebatang Pensel” karya Ali Majod, “Bong Penentuan” karya E Pian Pro Poul, dan “Isteri Leong Beranak” karya A. Wahab Ali. Jalan cerita daripada keempat-empat karya tersebut dijalinkan dengan sebuah kisah fiksyen yang diilhamkan oleh penulis skrip yang juga pengarah telefilem, iaitu Wan Afzam Wan Daud.

Jabat Erat-erat berlatarkan alam kampung pada tahun 1980-an, dengan kehidupan masyarakat di kampung yang dihuni oleh orang Melayu dan beberapa buah keluarga berketurunan Cina dan India. Yang menariknya, telefilem Jabat Erat-erat menghimpunkan paling ramai pelakon hebat tanah air, termasuklah pelakon kanak-kanak dan pelakon muda berbakat besar seperti Muhammad Aidil Rafiq.

Aidil Rafiq bersama-sama pelakon hebat, Zaidi Omar dalam  babak telefilem Jabat Erat-erat.

Semasa sesi memperkenalkan barisan pelakon sebaik-baik sahaja selesai majlis pratonton telefilem Jabat Erat-erat di Wisma TV, Angkasapuri, RTM, tumpuan agak lama diberikan kepada Aidil Rafiq yang memegang watak sebagai Kalam. Dikatakan berbakat besar kerana Aidil Rafiq pernah tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik bagi kategori Drama dalam Anugerah Skrin pada tahun 2019. Aidil yang tercalon atas tiket telefilem Di Sisi bersaing dengan nama pelakon lelaki hebat seperti Faizal Hussein, Azhan Rani, Beto Kusyairi dan Michael Ang. Dalam telefilem Di Sisi yang juga merupakan arahan Wan Afzam Wan Daud, Aidil berlakon di samping Aman Graseka yang ditayangkan khas sempena sambutan Maal Hijrah.

“Telefilem Jabat Erat-erat bukan lakonan pertama saya di bawah arahan Wan Afzam Wan Daud. Saya sudah lama bekerja dengan pengarah Wan Afzam, terutamanya dalam projek telefilem khas untuk tayangan RTM. Sebelum ini, saya berlakon dalam sebuah drama khas bertajuk Ayah, Janganlah Diam yang ditayangkan oleh RTM sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun 2020. Dengan adanya peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh Wan Afzam juga, saya berjaya melonjakkan nama apabila tersenarai sebagai finalis Pelakon Filem Lelaki Terbaik bagi kategori Drama dalam Anugerah Skrin pada tahun 2019. Dan pada tahun ini, Wan Afzam sekali lagi menyakini bakat saya untuk menjayakan watak Kalam dalam telefilem Jabat Erat-erat,” demikian kata Aidil semasa sesi temu ramah ringkas berkaitan dengan penglibatannya dalam telefilem arahan Wan Afzam.

Telefilem lain yang menampilkan lakonan Aidil Rafiq ialah Ambon yang ditayangkan oleh RTM sempena musim cuti sekolah pada Disember 2018. Pada tahun 2017 pula, Aidil turut membintangi filem Jibam arahan Che Mie.

Dua watak anak muda dalam telefilem Jabat Erat-erat.

Menurut Wan Afzam pula, dia sentiasa memberikan peluang kepada Aidil dalam drama atau telefilem arahannya jika dia memerlukan watak anak muda. “Aidil memang berbakat sebagai pelakon, terutamanya dalam genre drama atau telefilem yang mengetengahkan watak anak muda yang mengalami konflik diri. Sebabnya, Aidil boleh mengekspresikan wajah dan menuturkan dialog yang sesuai mengikut karakter yang dibawanya. Walaupun masih muda, namun pengalamannya berlakon bersama dengan  pelakon hebat seperti Aman Graseka, Rosnah Johari dan Bohari Ibrahim menyebabkan lakonan Aidil tidak pernah mengecewakan saya apabila ditawarkan watak dalam telefilem arahan saya,” demikian ulas Wan Afzam apabila ditanya tentang lakonan Aidil Rafiq. Melalui telefilem Di Sisi, Wan Afzam Wan Daud dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik kategori Drama dalam Anugerah Skrin pada tahun 2019.

Selain kru produksi dan pengarahnya, majlis pratonton telefilem Jabat Erat-erat turut disaksikan oleh barisan pelakon, termasuk pelakon hebat Zaidi Omar dan Noorkhiriah Ahmad Shapie. Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Nurul Julia Alani Henry, pegawai kanan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Rusdi Abdul Rahman, dan Ketua Unit Drama TV RTM, Puan Sarena Mohd Salleh.

Telefilem Jabat Erat-erat akan menemui penonton pada 1 April 2022 melalui slot Panggung RTM sempena meraikan sambutan ulang tahun RTM yang ke-76. Pihak DBP juga akan turut mempromosikan tayangan Jabat Erat-erat dengan mengadakan program khas, iaitu Forum Jabat Erat-erat. Dalam projek adaptasi karya pada kali ini, selain terhasilnya telefilem, RTM dan DBP juga bekerjasama menerbitkan buku skrip telefilem Jabat Erat-erat yang ditulis oleh Wan Afzam Wan Wan Daud, atau nama penanya Amin Masyhur. Kedua-dua karya tersebut, telefilem dan buku Jabat Erat-erat akan menemui khalayak pada 1 April 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.