21 Mac 2022, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam Konferensi Umum ke-30 di Paris pada tahun 1999, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) telah mendeklarasikan Hari Puisi Sedunia berserta dengan pernyataan, “Deklarasi Hari Puisi Sedunia ini dibuat dengan tujuan untuk mendukung keragaman bahasa melalui ekspresi puitis dan meningkatkan kesempatan untuk mendengar bahasa yang terancam punah”. Dalam laman web Days of the Year dinyatakan, Hari Puisi Sedunia diraikan bertujuan mempromosikan puisi serta penerbitan, penulisan dan pembacaan bentuk tulisan ini di seluruh dunia. Sejak itu, Hari Puisi Sedunia diperingati setiap tahun pada tarikh 21 Mac. Pengisytiharan Hari Puisi Sedunia juga menjadi salah satu cara dalam usaha mengapresiasikan karya penyair dari serata negara di dunia.

Puisi merupakan seni mencipta rasa dan berkongsi rasa melalui kata-kata puitis. Oleh itu, pada sambutan Hari Puisi Sedunia, UNESCO mengundang sesiapa sahaja, khususnya peminat puisi untuk mencipta puisi, seterusnya berkongsi puisi ciptaan mereka dalam mana-mana ruangan, sama ada dalam media bercetak (majalah atau akhbar) atau media digital seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Melalui inisiatif tersebut, UNESCO menginginkan agar semangat dan rasa yang diluahkan dalam puisi dapat terus disemarakkan oleh generasi moden, terutamanya generasi muda pada hari ini.

Dilancarkan melalui laman web rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999, Hari Puisi Sedunia menjadi kesempatan untuk menghormati penyair, menghidupkan kembali tradisi lisan pembacaan puisi, serta mempromosikan aktiviti membaca, menulis dan mengajar puisi. Tidak hanya terbatas pada seni dan budaya semata-mata, UNESCO juga menyedari bahawa puisi juga merupakan satu bentuk penyalur pendidikan sama ada secara formal dan tidak formal, terutamanya melalui mesej yang terkandung dalam puisi. Hal ini dikatakan demikian kerana puisi merupakan salah satu ekspresi secara jujur yang ditunjukkan oleh para pemuisi. Secara tidak langsung, puisi memperkuat perkembangan intelektual, emosi dan psikologi.

Sebagai hari khusus untuk mengenang dan meraikan penulis puisi dari seluruh dunia, laman web masagipedia.com. mereka cipta poster sempena meraikan Hari Puisi Sedunia 2022. Dalam laman web tersebut juga dipaparkan dua poster dengan rekaan yang unik dan menarik menggunakan perisian Canva. Selaras dengan itu juga, para penulis puisi khususnya dan masyarakat yang meminati puisi amnya dialu-alukan untuk mencipta poster sendiri bersempena Hari Puisi Sedunia 2022, seterusnya berkongsi poster tersebut di platform media sosial.

Ternyata, pada tarikh hari ini, pemuisi di Malaysia tidak lupa menghantar ucapan mereka melalui laman media sosial masing-masing sempena memperingati hari yang signifikan dalam kerjaya mereka sebagai penukang puisi. Antaranya termasuklah penerima SEA Write Award 2019, Dr. Shamsuddin Othman. Penerbit SHE juga memeriahkan sambutan Hari Puisi Sedunia 2022 dengan menganjurkan pertandingan menulis puisi. Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) juga turut menganjurkan program “Interaksi Pemuisi Sedunia” secara dalam talian.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.