Oleh Hilster
23 Oktober 2021, 13:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Secangkir Kopi Jam 10 kembali menemui pelayar Facebook dengan musim baharu pada hari ini bersama-sama Azian Mohamed Isa sebagai moderator yang membentangkan rangka sinopsis cerpen yang ditulis olehnya. Program yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook Secangkir Kopi Jam 10 pada pukul 10.00 pagi tadi turut menampilkan panel jemputan yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan kreatif, iaitu Rozninah Abdul Azib dan Nisah Haron.

Azian Mohamed Isa.

Pada siaran kali ini, teknik yang diketengahkan menggunakan kaedah 5W 1H, iaitu what, who, where, when, why dan how yang dijadikan panduan untuk membina rangka sesebuah cerpen. Menurut Azian, cetusan idea tersebut terhasil selepas beliau menghantar cerpen ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk dinilai dan isu bahasa baku yang tercetus semasa zaman persekolahannya.

“Penghasilan rangka seperti ini adalah sangat membantu editor ataupun pembimbing kerana rangka memberikan gambaran kepada cerpen dan memudahkan proses kritikan dan bimbingan,” ujar Nisah. Selain itu, beliau turut memuji keberanian Azian untuk mengetengahkan isu bahasa dan memasukkan latar luar negara dalam karya beliau.

Rozninah Abdul Azib berkata, “Penghasilan sesebuah rangka cerpen amat penting untuk penulis pemula.” Sebagai mantan Editor DBP, beliau turut memberikan penekanan kepada jumlah watak dalam sesebuah cerpen, selain kepentingan ketika memilih nama watak tersebut.

Panel turut memberikan pandangan berkaitan teknik plot yang diketengahkan, selain penguasaan bahasa dalam karya tersebut. Antara cadangan yang dikemukakan ialah penulis boleh menggunakan 80 peratus penggunaan bahasa baku dan selebihnya boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam karya tersebut. Pemilihan teknik imbas kembali turut ditekankan, selain disarankan agar menghasilkan jalan cerita yang lebih cepat dan pantas.

Cadangan penukaran watak juga disarankan dalam aksi menanjak dan pada bahagian kerumitan penulis diminta untuk mendominankan dialog watak untuk menghidupkan pertikaian dan emosi watak. Pada bahagian klimaks pula, penulis diingatkan supaya menjaga logik cerita dari aspek sebab dan akibat supaya ia menjadi cerpen yang patuh konvensi. Para panel turut memberikan cadangan untuk kesudahan cerita ini adalah secara peleraian untuk dimasukkan elemen pengakhiran dan dialog yang baik.

Secangkir Kopi Jam 10 pada hari ini mengupas tentang bagaimanakah sesebuah sinopsis cerpen mampu menjadi dua malah tiga jenis karya yang berlainan.

Penggunaan medium rangka dan sinopsis amat digalakkan kepada penulis, khususnya penulis pemula untuk dibentangkan kepada editor agar proses penerbitan berjalan dengan lancar. Selain itu, penulis amat digalakkan untuk membaca karya penulis yang lain, terutamanya karya yang berjaya meraih kemenangan sebagai panduan dalam menghasilkan karya yang berkualiti.

Program Secangkir Kopi Jam 10 merupakan antara program bual bicara santai yang mampu membantu dan membimbing penulis, terutamanya penulis pemula dalam menghasilkan karya yang baik. Siaran penuh episod pada hari ini boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.